KUALA LUMPUR – Walaupun Jordan tewas 1-3 kepada Austria pada penampilan sulung mereka di Piala Dunia 2026, pemain tengah Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh tetap mencuri perhatian apabila membantu mencipta sejarah buat negaranya.
Pemain berusia 28 tahun itu menjadi arkitek kepada gol pertama Jordan dalam sejarah Piala Dunia selepas melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukannya di Selangor FC, Ali Olwan yang menyamakan kedudukan sejurus selepas babak kedua bermula.
Ketika Jordan ketinggalan 0-1, Al-Rawabdeh mempamerkan ketenangan dan visi permainan tinggi apabila melorongkan bola melepasi benteng Austria sebelum disudahkan Olwan untuk mencetuskan kegembiraan penyokong Jordan di stadium.
Gol tersebut bukan sekadar menyamakan kedudukan, malah menjadi jaringan pertama Jordan dalam sejarah penyertaan mereka di pentas Piala Dunia.
Bagaimanapun, Austria kembali menguasai perlawanan menerusi gol sendiri pemain Jordan pada minit ke-76 sebelum menambah satu lagi gol menerusi sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan 3-1.
Selepas tamat perlawanan, Al-Rawabdeh mengakui pasukannya gagal memanfaatkan peluang yang terhidang, namun menganggap kekalahan itu sebagai pengajaran berharga.
“Kami tidak menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya. Pada babak pertama, kami terlepas tiga peluang terbaik untuk menjaringkan gol, tetapi kami belajar sesuatu yang penting daripada perlawanan ini.
“Dalam perlawanan besar, anda mungkin hanya mendapat tiga atau empat peluang dan perlu menyudahkannya. Pada akhirnya, kami telah memberikan segala-galanya,” katanya kepada FIFA.
Menurutnya, pengalaman Austria dalam kejohanan besar menjadi faktor pemisah antara kedua-dua pasukan.
“Austria mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding kami dalam kejohanan besar dan ia jelas dapat dilihat di hadapan gol.
“Namun, kami belajar daripada pengalaman ini. Kami berjaya mengatasi rasa takut dan tekanan yang hadir pada perlawanan pertama. Jadi, perlawanan seterusnya akan menjadi lebih menyeronokkan buat kami,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JFA