BRNO, Republik Czech – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berazam kembali mengutip mata pada pusingan Kejuaraan Dunia FIM Moto3 di Automotodrom Brno hujung minggu ini selepas berdepan nasib malang pada perlumbaan terdahulu di Hungary.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu gagal menamatkan perlumbaan Grand Prix Hungary selepas dirempuh dari belakang oleh pelumba lain, sekali gus memusnahkan peluangnya untuk meraih mata meskipun mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang hujung minggu tersebut.
Kini, Hakim mengalihkan sepenuh tumpuan kepada Grand Prix Republik Czech yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun dengan menyifatkan litar Brno sebagai medan terbaik untuk bangkit dan mengukuhkan kedudukannya dalam kejuaraan.
Pelumba berusia 18 tahun itu berkata, persiapannya berjalan lancar selepas menjalani latihan seperti biasa di Sepanyol dan teruja untuk membuat penampilan sulung di litar legenda berkenaan.
“Persiapan saya untuk Brno berjalan dengan baik. Selepas perlumbaan di Balaton Park, kami mengenal pasti beberapa aspek yang perlu diperbaiki dan pasukan bekerja keras untuk meningkatkan prestasi.
“Fokus saya adalah membina keyakinan sejak sesi latihan bebas pertama (FP1) dan memahami karakteristik litar secepat mungkin kerana ini kali pertama saya berlumba di sini,” katanya.
Menurut Hakim, litar Brno yang terkenal dengan selekoh teknikal, laluan pantas dan perubahan ketinggian menjanjikan cabaran berbeza buat semua pelumba.
“Daripada apa yang saya lihat, Brno adalah litar yang menarik dan mencabar. Saya tidak sabar untuk turun ke trek dan memberikan yang terbaik dalam setiap sesi.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan, penaja dan semua penyokong yang sentiasa memberi sokongan,” ujarnya.
Ketika ini, Hakim mengumpul 48 mata kejuaraan dan berharap dapat menambah kutipan mata bagi memperbaiki kedudukannya dalam saingan musim 2026.
Perlumbaan di Brno dilihat sebagai peluang terbaik buat pelumba muda negara itu untuk melupakan episod mengecewakan di Hungary serta membuktikan kemampuannya sebagai antara prospek paling cerah Malaysia dalam arena perlumbaan motosikal antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing