KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa menerima aduan daripada ratusan individu yang dipercayai menjadi mangsa pelbagai skim pelaburan dan program kewangan meragukan melibatkan sekurang-kurangnya 18 kes berasingan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua aduan tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman untuk perhatian serta tindakan lanjut.
Menurut beliau, skim yang diadukan melibatkan pelbagai bentuk pelaburan termasuk forex, mata wang kripto, dana luar negara, emas, hartanah, saham, koperasi, mesin layan diri serta program pengurusan kewangan dan pembiayaan semula hutang.
“Walaupun bentuk dan modus operandi setiap program berbeza, kebanyakan mangsa mendakwa mengalami kerugian selepas gagal menerima pulangan keuntungan atau pemulangan modal seperti yang dijanjikan.
“Malah, terdapat mangsa yang mendakwa berdepan kesukaran mendapatkan semula wang mereka walaupun telah membuat pelaburan dalam jumlah yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan aduan diterima, pelbagai kaedah promosi didakwa digunakan bagi menarik pelabur termasuk pembentangan pelaburan, promosi dalam talian, sesi penerangan serta penggunaan dokumen korporat yang menggambarkan potensi keuntungan tinggi.
Katanya, para pengadu turut mendakwa syarikat dan individu terlibat memberikan pelbagai jaminan berhubung keselamatan pelaburan serta pulangan lumayan, namun janji tersebut didakwa tidak dipenuhi sehingga kini.
“Sebahagian mangsa mendakwa diberikan pelbagai alasan berhubung kelewatan pembayaran termasuk masalah operasi, teknikal dan kekangan kewangan syarikat.
“Bagaimanapun, semua dakwaan ini masih memerlukan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa bagi menentukan kesahihannya,” ujarnya.
Menurut Hishamuddin, jumlah keseluruhan mangsa bagi 18 kes tersebut dipercayai mencecah ratusan orang dengan nilai kerugian yang disyaki amat besar.
Sehubungan itu, beliau menggesa individu yang percaya mereka turut menjadi mangsa skim sama supaya tampil membuat laporan polis dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, MHO berharap JSJK dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan terperinci terhadap semua aduan yang telah dikemukakan bagi mengenal pasti fakta sebenar serta menentukan sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.
MHO turut menegaskan bahawa semua fakta dan maklumat yang dinyatakan adalah berdasarkan aduan, dokumen serta keterangan yang diterima daripada para pengadu dan masih tertakluk kepada siasatan serta pengesahan pihak berkuasa. – DETIK MALAYSIA