TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) menganjurkan Majlis Syarahan Budiman Profesor Dr. Mohamad Rozaimi Ramle sebagai platform perkongsian ilmu dan pemikiran akademik kepada warga universiti serta masyarakat.
Dalam syarahan bertajuk “Ilmu Hadis dan Realiti Pascamodenisme: Menyuluh Kebenaran di Celah Kebanjiran Maklumat”, Profesor Dr. Mohamad Rozaimi Ramle mengupas peranan ilmu hadis sebagai panduan penting dalam menilai kesahihan maklumat, khususnya dalam mendepani cabaran era digital, kecerdasan buatan (AI) dan ledakan informasi yang semakin kompleks.
Program berkenaan turut menjadi medan penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam bidang fiqh dan usul fiqh di peringkat nasional serta antarabangsa.
UPSI berkata, penganjuran syarahan tersebut turut memperkukuh usaha universiti dalam mengangkat kecemerlangan pendidikan Islam melalui pengembangan ilmu dan wacana akademik.
“Majlis turut menjadi medan penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam bidang fiqh dan usul fiqh di peringkat nasional dan antarabangsa, selain memperkukuh aspirasi UPSI untuk menjadikan i-Furqan sebagai pusat rujukan pendidikan tahfiz dan turath Islami yang unggul serta berimpak tinggi kepada pembangunan pendidikan Islam negara,” kata kenyataan itu di Facebook hari ini.
Majlis tersebut merupakan antara inisiatif UPSI dalam memperkasa budaya ilmu serta pemikiran akademik yang memberi manfaat kepada warga universiti dan masyarakat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI