KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berharap pelantikan anggota baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bagi penggal 2026–2029 menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan sistem semak dan imbang dalam agenda membanteras rasuah negara.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengalu-alukan pelantikan tersebut serta menyambut baik pendirian Perdana Menteri bahawa usaha memerangi rasuah memerlukan kerjasama seluruh ekosistem negara dan tidak boleh digalas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.
Menurut beliau, rasuah merupakan masalah sistemik yang memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan Parlimen, agensi penguat kuasa, sektor awam, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil, media dan rakyat.
“Peranan JKMR dan LPPR sebagai badan pemantau bebas perlu diperkasakan agar benar-benar berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang berkesan.
“Kejayaan kedua-dua badan ini tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah mesyuarat yang diadakan, sebaliknya melalui impak terhadap pembaharuan dasar, peningkatan ketelusan dan pengukuhan akauntabiliti institusi antirasuah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MCW mencadangkan supaya JKMR dan LPPR menerbitkan laporan berkala kepada orang ramai berhubung syor, dapatan serta status pelaksanaan cadangan yang dikemukakan.
Selain itu katanya, satu mekanisme pemantauan perlu diwujudkan bagi memastikan setiap syor menerima maklum balas rasmi daripada kerajaan dan SPRM.
“MCW turut mencadangkan sesi libat urus secara berkala bersama pertubuhan masyarakat sivil, badan profesional, akademia dan sektor swasta bagi mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh.
“Penilaian prestasi pelaksanaan strategi antirasuah nasional juga wajar dibentangkan secara berkala di Parlimen bagi meningkatkan kebertanggungjawaban awam,” katanya.
Tambah beliau, reformasi institusi antirasuah termasuk memperkukuh kebebasan SPRM, perlindungan pemberi maklumat, pembiayaan politik dan sistem perolehan kerajaan perlu terus dijadikan agenda nasional.
Jais berkata, anggota baharu JKMR dan LPPR diharap dapat melaksanakan amanah secara bebas, profesional serta berani tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan politik atau tekanan luar.
“Keyakinan rakyat terhadap institusi antirasuah hanya dapat diperkukuh apabila setiap keputusan dibuat secara telus, adil dan berlandaskan undang-undang.
“Membanteras rasuah bukan sekadar tanggungjawab penguatkuasaan, tetapi usaha membina budaya integriti yang mesti disokong seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – DETIK MALAYSIA