KUALA NERUS – Sebanyak tiga program edu-pelancongan bertaraf antarabangsa akan berlangsung di Terengganu antara Ogos hingga Oktober ini, membabitkan lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Program Edu-Tourism anjuran Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK) bersama PATA Malaysia Chapter yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Cempaka, Pejabat Daerah Kuala Nerus pada 29 Jun lalu.
Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof yang mewakili Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Menurut pihak penganjur, program Southeast Asia Olympiad Championship & Cultural Heritage Workshop bagi murid sekolah rendah dan menengah rendah akan diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari 17 hingga 20 Ogos ini dengan penyertaan kira-kira 400 peserta.
Sementara itu, Pacific Asia Olympiad Championship & Sustainable Tourism Workshop dijadual berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 7 hingga 10 September depan melibatkan seramai 500 peserta.
Program Young IMT-GT Islamic Future Leader Scholar pula akan diadakan di UMT dan Politeknik Hulu Terengganu pada 25 hingga 29 Oktober ini, melibatkan 120 pelajar Tingkatan Enam dan mahasiswa tahun pertama dari tiga negara.
Dalam mesyuarat itu, Musa memaklumkan segala urusan menyambut ketibaan peserta antarabangsa akan diselaraskan di KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 bagi memastikan perjalanan mereka berjalan lancar.
KHTK turut memaklumkan segala urusan penginapan bagi ketiga-tiga program telah selesai disusun, manakala UniSZA dan UMT mengesahkan semua pengisian pertandingan olimpiad serta bengkel telah dirancang dengan sempurna.
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu pula telah membuat persiapan rapi bagi memastikan semua program dapat dilaksanakan mengikut perancangan, termasuk melantik pelajar Tingkatan Enam yang mahir berbahasa Inggeris sebagai liaison officer.
Selain itu, Jabatan Kesihatan Terengganu akan menjalankan pemeriksaan terhadap semua pihak yang terlibat dalam penyediaan makanan, minuman dan penginapan peserta.
Pada masa sama, Taman Tamadun Islam dan Quinara Al Safir Resort bersedia menyediakan kemudahan dewan bagi majlis perasmian serta bengkel sebagai alternatif susulan Dewan UMT tidak dapat digunakan.
Perhubungan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Terengganu pula diamanahkan untuk bekerjasama dengan UMT dan UniSZA dalam mengendalikan majlis perasmian dan penutupan program.
Pengerusi PATA Malaysia Chapter dan KHTK turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik atas sokongan dan komitmen yang diberikan serta berharap hasrat menjadikan Kuala Nerus sebagai “Lembah Pendidikan” dapat direalisasikan sekali gus menyokong kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026. – DETIK MALAYSIA