SHAH ALAM – Kegagalan umat Islam bersatu disifatkan sebagai faktor terbesar menyebabkan perjuangan membebaskan Palestin dan Masjid Al-Aqsa masih belum mencapai kejayaan walaupun konflik itu telah berlarutan lebih tujuh dekad.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, umat Islam sebenarnya memiliki kekuatan besar dari segi jumlah penduduk, kekayaan sumber asli serta pengaruh geopolitik, namun kelebihan tersebut gagal dimanfaatkan kerana perpecahan yang berterusan.
Katanya, hampir dua bilion umat Islam yang mewakili lebih 50 negara berdaulat sepatutnya mampu memberi tekanan lebih besar kepada masyarakat antarabangsa sekiranya bergerak di bawah satu agenda bersama.
“Masalah terbesar umat Islam hari ini bukan kekurangan sumber, kekuatan ketenteraan atau pengaruh politik, sebaliknya kegagalan untuk bersatu.
“Perpecahan akibat persaingan politik, perbezaan mazhab, kepentingan nasional serta campur tangan pihak luar hanya membuka ruang kepada Israel memperluaskan penempatan haram, meneruskan pendudukan, mencemarkan kesucian Al-Aqsa dan meningkatkan serangan terhadap rakyat Palestin tanpa berdepan tindakan yang bermakna,” katanya.
Beliau menegaskan, perpaduan tidak bermaksud semua negara Islam perlu mempunyai sistem politik atau pandangan yang sama, sebaliknya bersatu mempertahankan keadilan, melindungi tempat suci Islam serta membela hak rakyat yang ditindas.
Menurutnya, perjuangan membebaskan Palestin bukan hanya tanggungjawab rakyat Palestin semata-mata, malah menjadi amanah moral, kemanusiaan dan tamadun yang perlu dipikul seluruh umat Islam serta masyarakat dunia yang cintakan keadilan.
Dalam pada itu, beliau menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan lebih berkesan dengan menjadi platform penyelarasan diplomasi, kerjasama ekonomi, bantuan kemanusiaan serta usaha strategik di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, usaha mempertahankan Palestin juga tidak boleh diserahkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan pertubuhan masyarakat sivil, institusi pengajian tinggi, ulama, media, golongan belia, sektor perniagaan dan agensi kemanusiaan.
“Sudah tiba masanya solidariti simbolik digantikan dengan perpaduan strategik.
“Perjuangan mempertahankan Al-Aqsa adalah perjuangan menegakkan keadilan, maruah manusia dan kredibiliti dunia Islam. Generasi akan datang akan menilai sama ada umat Islam bersatu ketika sejarah menuntut keberanian atau terus membiarkan perpecahan memanjangkan penderitaan rakyat Palestin,” katanya.
Pemimpin Islam terlalu sibuk pertahan kuasa
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, antara tragedi terbesar yang sedang dihadapi dunia Islam ialah apabila ramai pemimpin lebih memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan kuasa politik berbanding memimpin umat Islam mempertahankan kepentingan bersama.
Katanya, ketika rakyat Palestin terus menjadi mangsa peperangan dan Al-Aqsa berdepan ancaman, sebahagian kerajaan Islam masih terperangkap dengan percaturan politik domestik, persaingan serantau serta usaha mempertahankan kedudukan masing-masing.
“Mempertahankan kuasa politik dilihat lebih penting daripada mempertahankan perpaduan umat Islam.
“Sejarah tidak akan menilai berapa lama seseorang pemimpin berada di tampuk kuasa, sebaliknya sama ada mereka berdiri bersama keadilan ketika ia paling diperlukan,” katanya.
Beliau menegaskan, kepimpinan dalam Islam merupakan satu amanah yang menuntut keberanian, pengorbanan dan keutuhan prinsip, bukannya keistimewaan untuk memenuhi kepentingan peribadi atau kelangsungan politik.
Tambahnya, perpecahan yang berterusan telah menggalakkan Israel memperkukuhkan pendudukan, memperluaskan penempatan haram serta meningkatkan serangan terhadap rakyat Palestin tanpa berdepan tekanan kolektif daripada negara-negara Islam.
“Umat Islam memiliki kekuatan politik, ekonomi, demografi dan strategik yang besar. Apa yang kurang hanyalah kesungguhan politik untuk bersatu.
“Pembebasan Palestin memerlukan pemimpin yang sanggup meletakkan kepentingan umat mengatasi kepentingan politik peribadi atau nasional.
“Persoalannya, adakah sejarah akan mengingati mereka sebagai penjaga kuasa atau pembela keadilan?
“Penderitaan rakyat Palestin tidak boleh lagi menunggu satu lagi sidang kemuncak, satu lagi kenyataan atau satu lagi janji. Sudah tiba masanya pemimpin Islam mengetepikan kepentingan politik demi menyatukan umat untuk mempertahankan Al-Aqsa, membebaskan Palestin dan menegakkan keadilan,” katanya. – DETIK MALAYSIA