KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan tegas dan segera bagi menghentikan peluasan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, peluasan penempatan haram itu bukan sekadar dasar pembangunan perumahan, sebaliknya merupakan tindakan penjajahan, perampasan tanah dan keganasan terhadap rakyat Palestin.
Menurut beliau, tindakan tersebut mengakibatkan kediaman penduduk dimusnahkan, tanah dirampas, komuniti Palestin dipecah-belahkan serta menafikan hak rakyat Palestin terhadap kebebasan, kedaulatan dan hak untuk kembali ke tanah air mereka.
“Mapim mengutuk sekeras-kerasnya peluasan penempatan haram Israel yang dilakukan secara berterusan dengan penuh kebebasan tanpa dikenakan tindakan, selain mencerminkan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Resolusi tanpa penguatkuasaan hanya menjadi kata-kata kosong sedangkan Israel terus meneruskan pencerobohan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, UNSC perlu menguatkuasakan resolusi yang telah dipersetujui, mengenakan tindakan konkrit terhadap Israel serta menghentikan semua aktiviti penempatan haram tanpa sebarang kelewatan.
Katanya, dunia tidak lagi boleh berdiam diri atau mengamalkan layanan berbeza dalam isu yang melibatkan pencabulan undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, Mohd Azmi mengemukakan lima tuntutan iaitu menghentikan serta-merta semua peluasan penempatan haram Israel, menguatkuasakan resolusi UNSC berkaitan penempatan haram, mengenakan sekatan terhadap pemimpin, institusi dan pertubuhan peneroka Israel yang terlibat dalam perampasan tanah serta keganasan.
Selain itu, Mapim turut menuntut perlindungan kepada orang awam Palestin daripada keganasan peneroka dan serangan tentera Israel serta memastikan semua pelanggaran undang-undang antarabangsa dilakukan Israel dipertanggungjawabkan.
Mohd Azmi berkata, kegagalan berterusan masyarakat antarabangsa bertindak hanya menggalakkan Israel bertindak seolah-olah kebal daripada undang-undang.
“Palestin bukan bahan tawar-menawar. Tanah Palestin bukan untuk dijual dan hak rakyat Palestin tidak boleh dirunding.
“Mapim akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut keadilan, pembebasan dan maruah,” katanya. – DETIK MALAYSIA