Dr. Azlinda ketika menyerahkan surat lantikan kepada Md Amin di Putrajaya pada 30 Jun lalu.
Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM – Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meneruskan kepimpinan universiti itu untuk penggal baharu, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
Sesi penyerahan surat pelantikan beliau disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman pada 30 Jun lalu di Putrajaya.
Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dalam kenyataan memaklumkan Md Amin yang pertama kali dilantik sebagai Naib Canselor UPSI pada 24 Jun 2021 mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang pendidikan, pengurusan akademik dan pentadbiran universiti.
Menurut JPT, sepanjang menerajui UPSI, beliau telah memacu pelbagai agenda transformasi institusi merangkumi bidang akademik, penyelidikan, inovasi, pengantarabangsaan serta pembangunan modal insan, sekali gus memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif dan berdaya saing.
Mengulas pelantikan semula itu, Md Amin berkata amanah yang diberikan akan terus dipikul dengan penuh komitmen bersama seluruh warga universiti demi memastikan UPSI kekal cemerlang sebagai institusi pendidikan guru dan pendidikan tinggi yang disegani.
“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan akan terus memperkukuh usaha ke arah merealisasikan aspirasi universiti melalui kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi serta pembangunan modal insan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau.
JPT turut merakamkan ucapan tahniah kepada Md Amin atas pelantikan semula beliau sebagai Naib Canselor UPSI.
Menurut kenyataan itu, pelantikan semula berkenaan diharap dapat meneruskan kesinambungan pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik ke arah memartabatkan UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – IHSAN JPT
