GAZA – Penjaga gol kelab Khadamat Khan Younis, Saleem Khader Al-Ashqar, dilaporkan maut selepas ditembak tentera Israel di Al-Qarara, timur laut Khan Younis, menurut Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA).
Al-Ashqar, 32, menghembuskan nafas terakhir ketika operasi ketenteraan di kawasan berkenaan, sekali gus menambah lagi senarai atlet Palestin yang terkorban sejak konflik di Gaza tercetus pada Oktober 2023.
Lebih menyayat hati, Allahyarham baru mendirikan rumah tangga kira-kira lima bulan lalu dan meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil anak sulung mereka.
Menurut PFA, Al-Ashqar pernah beraksi bersama beberapa kelab di Gaza termasuk Khadamat Khan Younis, Al-Aqsa dan Al-Musaddar sepanjang kariernya sebagai penjaga gol.
Dalam pada itu, PFA memaklumkan jumlah anggota komuniti sukan Palestin yang terbunuh sejak Oktober 2023 kini meningkat kepada 1,009 orang, termasuk 567 pemain, jurulatih dan pegawai bola sepak.
Pemergian Al-Ashqar turut menerima ucapan takziah daripada komuniti bola sepak antarabangsa, termasuk kelab Chile, Deportivo Palestino, yang menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar buat bola sepak Palestin.
Konflik yang berlarutan di Gaza terus memberi kesan besar kepada dunia sukan, dengan ramai atlet serta pegawai sukan dilaporkan terkorban dan pelbagai kemudahan sukan musnah akibat peperangan. – DETIK MALAYSIA
