DALLAS, Texas – Impian Australia untuk meneruskan kemaraan pada Piala Dunia 2026 berkecai apabila tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Mesir selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan dalam aksi pusingan kalah mati awal pagi tadi.
Skuad Socceroos yang mempertaruhkan benteng ampuh diketuai Harry Souttar, Alessandro Circati dan Lucas Herrington cuba mengekang ancaman dua tonggak utama Mesir, Mohamed Salah serta Omar Marmoush.
Bagaimanapun, Mesir terlebih dahulu memecah kebuntuan seawal minit ke-13 apabila Emam Ashour menanduk masuk hantaran lintang untuk meletakkan The Pharaohs di depan 1-0.
Gol itu menyuntik keyakinan Mesir yang berjaya mengekalkan kelebihan sehingga tamat babak pertama menerusi aksi bertahan yang cukup berdisiplin.
Australia bangkit sebaik bersambung babak kedua dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-55 hasil jaringan sendiri pertahanan Mesir, Mohamed Hany.
Situasi itu berlaku apabila Hany tersalah mengeluarkan bola daripada sepakan percuma berbahaya Aiden O’Neill sehingga bola menerjah gawang sendiri.
Kedua-dua pasukan terus saling mengasak sepanjang baki perlawanan, namun gagal menemui gol kemenangan sehingga memaksa aksi diheret ke masa tambahan.
Sepanjang 30 minit tambahan, Australia lebih banyak menguasai permainan, manakala Mesir mengancam menerusi serangan balas yang diketuai Salah dan Marmoush, namun keputusan kekal 1-1.
Penentuan akhirnya terpaksa dibuat menerusi sepakan penalti dan Mesir lebih tenang menyempurnakan tugasan apabila menyempurnakan empat sepakan.
Sebaliknya, Australia menerima tamparan apabila Harry Souttar dan Lucas Herrington gagal menyempurnakan sepakan masing-masing, sekali gus memberikan kemenangan 4-2 kepada Mesir.
Kejayaan itu memastikan Mesir terus menghidupkan impian memburu kejayaan bersejarah di pentas Piala Dunia 2026, manakala perjalanan Australia berakhir meskipun mempamerkan semangat juang tinggi selepas bangkit daripada ketinggalan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Socceroos
