SHAH ALAM – Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid mendakwa jutaan rakyat Iran membanjiri jalan-jalan utama di negara itu bagi menghadiri upacara penghormatan terakhir Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Syed Ali Khamenei.
Mohd. Azmi yang kini berada di Tehran berkata, beliau diundang khas untuk menghadiri upacara berkenaan dan menyaksikan sendiri persiapan berskala besar yang digerakkan kerajaan Iran bagi menguruskan acara tersebut.
Menurut beliau, seluruh negara seolah-olah menghentikan rutin harian apabila tumpuan rakyat hanya terarah kepada upacara penghormatan terakhir pemimpin yang disifatkannya sebagai syahid.
“Daripada setiap kota, jalan dan lorong, bangunan kerajaan serta swasta, universiti, jambatan dan ruang awam, seluruh Iran seakan-akan terhenti daripada rutin biasa,” katanya dalam satu catatan dari Tehran.
Beliau mendakwa upacara pengkebumian nasional itu dijangka dihadiri antara 20 hingga 25 juta orang, selain melibatkan penyertaan perwakilan dari lebih 100 negara serta puluhan institusi pelbagai agama dari seluruh dunia.
Katanya, ribuan sukarelawan bersama pelbagai agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan, hospital, ambulans, penyelamat, media dan logistik digerakkan bagi memastikan perjalanan acara berlangsung lancar.
Mohd. Azmi berkata, beliau turut dibawa ke Musolla Imam Khomeini untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Ayatollah Khamenei sebelum upacara pengkebumian berlangsung.
“Saya berdiri di hadapan lima keranda. Apa yang saya hayati bukan sekadar suasana ziarah terakhir, tetapi mesej tentang legasi perjuangan seorang pemimpin yang mempertahankan kedaulatan Iran serta maruah umat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa acara berkenaan bukan sekadar majlis pengebumian, sebaliknya menggambarkan penyatuan rakyat Iran serta mencerminkan keteguhan semangat negara itu walaupun berdepan tekanan luar.
Mohd. Azmi turut ditemu bual beberapa media antarabangsa sepanjang berada di Tehran bagi mengulas mengenai legasi intelektual Ayatollah Khamenei, perpaduan Ummah Islamiah serta usaha memperkenalkan pemikiran beliau kepada generasi muda Islam. – DETIK MALAYSIA
