KUALA LUMPUR – Kelantan Red Warrior FC sah menjadi pasukan ke-12 yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim 2026-2027 selepas dipilih menggantikan PDRM FC yang menarik diri daripada pertandingan.
Malaysian Football League (MFL) dalam satu pengumuman hari ini memaklumkan, kelab yang menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro di tangga keempat musim lalu itu dipilih selepas memenuhi kriteria kewangan bagi tujuan promosi ke Liga Super.
Sebelum ini, Kelantan Red Warrior FC telah melengkapkan semua dokumen yang diperlukan bagi memenuhi syarat berkenaan.
Kelab berpangkalan di Kota Bharu itu dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC yang menamatkan saingan di tangga keenam Liga A1 serta Bunga Raya FC di kedudukan ke-12, yang turut mengemukakan permohonan selepas memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada First Instance Body (FIB).
Sementara itu, Armed Forces FC yang turut beraksi dalam Liga A1 tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai Liga Super musim depan.
Semalam, PDRM FC menghantar surat rasmi kepada MFL bagi memaklumkan penarikan diri daripada saingan Liga Super 2026-2027 bagi memberi tumpuan kepada proses penstrukturan semula pengurusan kelab.
Dengan penyertaan Kelantan Red Warrior FC, saingan Liga Super musim 2026-2027 kini lengkap dengan 12 pasukan membabitkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC, Melaka FC dan Kelantan Red Warrior FC. – DETIK MALAYSIA
