KUALA LUMPUR – Education Malaysia Global Services (EMGS) memilih Homestay Teluk Ketapang di Terengganu untuk menerima seramai 80 mahasiswa antarabangsa bagi menyertai program pengalaman inap desa.
Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat khas yang diadakan antara Pengurusan Tertinggi EMGS dan KHTK di ibu pejabat EMGS di sini semalam.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Ketua Unit Pemegang Taruh EMGS, Syed Mohammad Khair Syed Hussien.
Turut hadir Ketua Unit Komunikasi Korporat EMGS, Fayzrul Faeez Yaakob serta pegawai-pegawai EMGS.
Melalui program itu, mahasiswa dari beberapa negara termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan, Uzbekistan, Pakistan, India, Maldives dan Brunei akan mengikuti pengalaman inap desa di Homestay Teluk Ketapang.
Pelbagai aktiviti menarik turut dipersetujui untuk dilaksanakan sepanjang program bagi memberi pengalaman unik kepada peserta.
Antara aktiviti yang dirancang melibatkan kawasan laut, sungai, desa dan bandar, selain lawatan ke Noor Arfa Craft Centre, Taman Tamadun Islam dan Pasar Payang.
KHTK turut merakamkan penghargaan kepada EMGS kerana memilih Homestay Teluk Ketapang sebagai lokasi penganjuran program tersebut. – DETIK MALAYSIA
