Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 Julai 2026 berjaya menarik pelbagai lapisan pengunjung termasuk dari peringkat usia prasekolah.
KUALA TERENGGANU – Pembukaan rasmi Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Timur di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), hari ini, menyaksikan kehadiran memberangsangkan pengunjung seawal pagi, sekali gus menandakan permulaan positif bagi penganjuran selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Julai.
Acara yang dianjurkan dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menjadi platform penting dalam memperluas akses dan minat masyarakat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya di Pantai Timur.
Seawal pembukaan, pelbagai aktiviti interaktif, pameran sains serta demonstrasi teknologi mula dipenuhi pengunjung termasuk murid sekolah, keluarga dan komuniti setempat yang mengambil peluang menerokai pengalaman pembelajaran secara santai namun berinformasi.




“Sememangnya jarak bukan menjadi halangan untuk minat kami hadir ke karnival sains ini. Ada di antara kami hadir bersama dengan cikgu sekolah masing-masing begitu juga ada di antara mereka hadir bersama ibu bapa dan keluar sendiri untuk hadir bertemu di sini. Ianya satu pengalaman yang amat bermakna khususnya buat kami dari luar bandar,” kata Nurina Raudah Jannah Zulkifli, murid Tingkatan 4 Sekolah Menengah Seri Berang, Hulu Terengganu.
Penganjuran MSN 2026 Zon Timur di PSKT dilihat selari dengan agenda MOSTI dalam membudayakan STEM dalam kalangan masyarakat melalui pendekatan lebih inklusif dan praktikal, termasuk penyediaan pameran digital interaktif serta aktiviti berasaskan pengalaman.

Sementara itu, suri rumah, Sanizaratna Mohd Shafiae, 44, berkata peluang memasuki karnival secara percuma sepanjang tiga hari penganjuran memberi kelebihan kepada keluarga untuk menyertai aktiviti pendidikan tanpa kekangan kos.
“Untuk keluarga besar seperti kami apatah lagi sewaktu keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, kos menjadi pertimbangan untuk sesuatu perkara. Jadi hari ini kami memanfaatkan sepenuhnya peluang dan ruang yang ada ini secara tidak langsung merapatkan hubungan kekeluargaan pada hujung minggu ini. Sebenarnya, ini kali ke-4 kami menjejakan kaki ke sini dan sememangnya apa yang ada di pusat sains ini tidak pernah membosankan. Kali ini kami hadir lebih ramai dengan lain-lain sanak saudara,” ujarnya.
Dalam pada itu, pasangan pengantin baharu, Mohd Azrie Mat Amin berkata, penganjuran hari pertama karnival itu membuka perspektif baharu kepada golongan dewasa terhadap kepentingan ilmu sains dalam kehidupan seharian.

“Setiap kali cuti pada hujung minggu selalunya kami meluangkan masa di lain-lain tempat tumpuan pelancong, cuma kali ini terdetik untuk hadir ke sini ini setelah mendapat tahu penganjuran ini dari rakan kami di kampung. Bagi saya, karnival sains ini tidak hanya mampu menarik minat dari murid-murid sekolah atau generasi muda malah bagi orang dewasa seperti kami ini juga. Pameran berkaitan bahaya radiasi dalam kehidupan seharian ianya satu benda baru untuk saya ketahui,” katanya.

Terdahulu, program ‘Jom Lari-Lari’ menjadi acara pembuka tirai yang menyemarakkan suasana hari pertama dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mencerminkan pendekatan santai yang diketengahkan penganjur dalam menarik minat orang ramai terhadap STEM.
Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur dijadualkan berlangsung sehingga 20 Julai ini dengan pelbagai lagi aktiviti menarik disusun bagi menggalakkan penyertaan berterusan sepanjang penganjuran.
