KUALA LUMPUR – MAPIM menggesa masyarakat antarabangsa segera menguatkuasakan undang-undang antarabangsa secara adil dan konsisten, sambil memberi amaran kredibiliti institusi kehakiman global akan terus terhakis sekiranya pelaksanaannya hanya bersifat terpilih.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) diwujudkan bagi menegakkan keadilan serta memastikan tiada negara atau pemimpin berada di atas undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, keputusan mahkamah tanpa penguatkuasaan hanya tinggal sebagai simbol semata-mata.
“Perintah tangkap tanpa pelaksanaan hanyalah dokumen. Penemuan undang-undang tanpa sebarang tindakan pula sekadar isyarat simbolik.
“Persoalannya kini bukan lagi sama ada bukti mencukupi, sebaliknya adakah masyarakat antarabangsa mempunyai keberanian politik untuk bertindak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, rakyat Palestin telah lama berdepan pendudukan, pemindahan paksa, peluasan penempatan haram, serangan ketenteraan, hukuman kolektif dan penafian hak asasi, namun penderitaan itu berterusan walaupun pelbagai proses perundangan antarabangsa telah dijalankan.
Katanya, kegagalan utama bukan berpunca daripada kelemahan undang-undang, sebaliknya disebabkan ketiadaan kemahuan politik dalam kalangan negara berpengaruh.
“Dunia menyaksikan undang-undang dikuatkuasakan secara terpilih apabila negara lemah dikenakan tindakan, manakala kuasa besar dan sekutunya terus dilindungi melalui kuasa veto, tekanan diplomatik serta pengaruh ketenteraan dan ekonomi.
“Undang-undang yang hanya dikenakan terhadap pihak tertentu bukan lagi keadilan, sebaliknya menjadi alat dominasi,” katanya.
Mohd Azmi berkata, dunia tidak lagi memerlukan kenyataan kebimbangan atau resolusi yang tidak membawa sebarang perubahan di lapangan.
Sebaliknya, beliau berkata, negara-negara yang mendakwa menghormati undang-undang antarabangsa perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mematuhi semua kewajipan undang-undang yang mengikat.
“Mereka perlu menahan individu yang menjadi subjek waran tangkap antarabangsa apabila memasuki wilayah masing-masing, menggantung kerjasama ketenteraan serta pemindahan senjata yang boleh menyumbang kepada pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Selain itu, sekatan diplomatik dan ekonomi yang bersasar perlu dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, di samping menyokong siasatan bebas serta melindungi saksi, petugas kemanusiaan, wartawan dan pakar perundangan,” katanya.
Beliau turut menggesa negara anggota bertindak secara kolektif sekiranya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal berfungsi akibat penyalahgunaan kuasa veto.
Menurutnya, kredibiliti ICJ dan ICC kini bergantung kepada kesediaan negara anggota melaksanakan tanggungjawab yang dipersetujui di bawah perjanjian antarabangsa.
“Kerajaan tidak boleh memuji undang-undang antarabangsa dalam ucapan, tetapi mengabaikannya apabila melibatkan sekutu sendiri.
“Sudah tiba masanya keadilan antarabangsa dikuatkuasakan secara sebenar, bukannya sekadar menjadi janji yang tidak pernah dilaksanakan,” katanya.
Mohd Azmi menegaskan dunia perlu menamatkan amalan keadilan terpilih, menghentikan budaya impuniti serta mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa demi melindungi rakyat Palestin dan memulihkan keyakinan terhadap sistem keadilan global. – DETIK MALAYSIA
