SHAH ALAM – Tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang didakwa terus mengubah sasaran dalam perang terhadap Iran menunjukkan kedua-dua negara itu tidak mempunyai strategi politik yang jelas serta gagal merancang penamat konflik secara bertanggungjawab.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pada peringkat awal, serangan tersebut dikatakan bertujuan menghapuskan ancaman nuklear Iran, namun matlamat itu kemudian berkembang kepada usaha memusnahkan keupayaan peluru berpandu, melemahkan angkatan tentera, membubarkan pengaruh serantau serta menjatuhkan kerajaan negara itu.
Katanya, apabila sasaran berkenaan gagal dicapai, fokus perang sekali lagi berubah kepada usaha mengawal Selat Hormuz, melindungi laluan perdagangan, mengenakan sekatan dan memaksa Iran berunding dalam kedudukan yang lemah.
“Kini, AS dilaporkan memperluaskan serangan dengan menyasarkan infrastruktur strategik dan awam termasuk jambatan, pelabuhan, kemudahan pengangkutan, pusat logistik, pemasangan tenaga, lapangan terbang serta sistem komunikasi.
“Serangan terhadap Bandar Abbas, Chabahar dan beberapa kemudahan penting lain menunjukkan operasi ketenteraan itu tidak lagi terhad kepada sasaran ketenteraan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan menyasarkan rangkaian pengangkutan dan komunikasi dipercayai bertujuan memutuskan hubungan fizikal antara bandar dan wilayah, melumpuhkan aktiviti ekonomi serta mengganggu bekalan makanan, ubat-ubatan, tenaga dan keperluan asas rakyat.
Katanya, serangan terhadap sistem telekomunikasi, rangkaian digital dan kemudahan komunikasi turut memberi kesan besar kepada hospital, perkhidmatan kecemasan, sekolah, bank, agensi kerajaan dan kehidupan harian masyarakat.
“Memusnahkan rangkaian hubungan bukan sekadar melemahkan kerajaan, sebaliknya boleh melumpuhkan seluruh masyarakat,” ujarnya.
Mohd Azmi berkata, kerosakan terhadap kemudahan tenaga dan sistem bekalan elektrik juga meningkatkan tekanan terhadap keselamatan tenaga Iran, sekali gus memberi kesan berganda kepada rakyat awam.
Beliau mendakwa strategi itu bertujuan menyukarkan kehidupan harian rakyat, melemahkan semangat mereka dan mewujudkan tekanan dalaman terhadap kerajaan Iran.
“Tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai hukuman kolektif terhadap penduduk awam yang tidak sepatutnya dijadikan alat untuk mencapai matlamat politik atau ketenteraan,” katanya.
Menurut beliau, perubahan sasaran perang itu kini memperlihatkan corak yang membimbangkan apabila ia bermula dengan kemudahan nuklear, diikuti keupayaan pertahanan, kepimpinan politik, Selat Hormuz dan kini melibatkan infrastruktur asas negara.
“Ini bukan fleksibiliti strategi, sebaliknya menunjukkan dasar yang semakin tersasar dan bergantung kepada kekuatan ketenteraan,” katanya.
Beliau berkata, peperangan tidak sepatutnya dimulakan tanpa objektif politik yang jelas, matlamat ketenteraan yang boleh dicapai serta strategi penamatan konflik yang munasabah.
Tambahnya, serangan terhadap infrastruktur awam juga menimbulkan persoalan serius dari sudut undang-undang kemanusiaan antarabangsa kerana kemudahan seperti jambatan, pelabuhan, sistem tenaga dan telekomunikasi memberi manfaat kepada jutaan orang awam.
Mohd Azmi berkata, peluasan sasaran itu hanya akan memanjangkan konflik, meningkatkan korban awam, menjejaskan ekonomi, mengganggu perdagangan dunia, menaikkan harga tenaga dan meningkatkan risiko tercetusnya perang yang lebih besar di rantau berkenaan.
“Ia turut mencetuskan kitaran serangan balas terhadap infrastruktur di negara-negara yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan AS, sekali gus mengancam kestabilan rantau Teluk.
“Masyarakat antarabangsa perlu menolak normalisasi peperangan yang menyasarkan infrastruktur awam kerana tindakan itu bukan jalan menuju diplomasi, sebaliknya hanya membawa penderitaan dan ketidakstabilan berpanjangan,” katanya.
Beliau menegaskan dunia perlu mendesak supaya serangan terhadap infrastruktur awam, rangkaian pengangkutan, sistem komunikasi, kemudahan tenaga dan pelabuhan dihentikan segera.
“Penduduk awam Iran tidak boleh terus diasingkan dan dinafikan keperluan asas sebagai sebahagian daripada strategi ketenteraan.
“Dunia memerlukan diplomasi, akauntabiliti dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, bukannya sasaran perang yang sentiasa berubah sehingga mengancam jutaan nyawa serta kestabilan serantau,” katanya. – DETIK MALAYSIA
