Nukilan oleh Ikhwan Abdul Kassim
Semalam telah mengajarkan erti kemerdekaan,
berbekalkan darah dan doa para pejuang,
menganyam sebuah negara dalam lipatan sejarah,
daripada langkah yang pernah dibelenggu,
lahirlah harapan yang tidak pernah gugur,
terpahat pada tanah bertuah ini.
Kini di bumi Petaling Jaya,
denyut merdeka terus bernafas,
pada jalan-jalan yang sarat cita,
gedung ilmu dan gedung usaha
menjadi saksi sebuah bangsa
yang tekal membina masa depan
dengan tangan generasi pewaris.
Dari dataran yang menyambut fajar,
hingga kota yang bercahaya di dada malam,
bertemu pelbagai bahasa dan budaya,
namun sehati menjunjung Jalur Gemilang,
kerana kemerdekaan ini telah menggerbang semangat dan muafakat di sempadan daulat
tertatang luhur tanpa dihanyut arus kesia-siaan.
Anak-anak hari ini
ialah halaman baharu negara,
Segerakan langkah mengatur pencak,
di gelanggang perjuangan
tempat maruah dijulang setinggi azam.
Selembar cinta tetaplah
menyimpul utuh nadi kesejagatan
walau seinci tanah keramat tercabar,
kerana kitalah benteng terakhir
yang akan menggadai kudrat,
yang akan mempertaruhkan nyawa
Bandar Raya Inai Merah,
bukan sekadar sebuah kota,
tetapi persinggahan impian sebuah negara.
Di sinilah kami menanam janji,
memelihara kemerdekaan dengan kasih,
menyemai perpaduan tanpa jemu,
agar sinar yang diwariskan semalam
terus menyala
dari generasi ke generasi.
