JOHOR BAHRU – Tiga lelaki warga tempatan ditahan polis selepas dipercayai membuang air kecil di tepi lebuh raya seperti dipaparkan dalam satu rakaman video yang tular di media sosial baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung hantaran video tersebut pada pukul 6.11 petang semalam.
Susulan maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menjalankan operasi pada pukul 9.30 malam.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun ditahan di hadapan sebuah restoran di Taman Maju Jaya.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan untuk tindakan siasatan.
“Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod berkaitan kes jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor dalam masa terdekat,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323. – DETIK MALAYSIA
