KUALA LUMPUR – Sekretariat Kesatuan Ummah Malaysia, Ummat Wahidah dilancarkan sebagai wadah bersama bagi memperkukuh kesatuan, ukhuwah, persefahaman dan kerjasama dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Penyelarasnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, inisiatif itu lahir daripada kesedaran bahawa kekuatan umat bukan hanya bergantung kepada jumlah dan sumber dimiliki, sebaliknya kemampuan untuk bersatu dalam perkara asas.
Menurut beliau, kesatuan tidak bermaksud menyeragamkan semua perbezaan termasuk dalam aspek mazhab, tradisi keilmuan, organisasi dan pendekatan.
“Berbeza dalam perkara cabang, bersatu dalam perkara asas. Berbahas dengan ilmu, bukan dengan kebencian serta berbeza pandangan tanpa memutuskan persaudaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Ummat Wahidah akan menjadi ruang yang menghubungkan ulama, intelektual, NGO, badan masyarakat, generasi muda dan tua serta pelbagai kelompok umat Islam.
Katanya, antara agenda awal sekretariat itu ialah memperkukuh ukhuwah, adab dalam perbezaan, pendidikan, ekonomi ummah, kebajikan, kemanusiaan dan perpaduan masyarakat.
“Kesatuan perlu menghasilkan amal bersama. Pendekatan Ummat Wahidah ialah kenal, faham, hormat, bersatu, bekerjasama dan berkhidmat,” katanya.
Menurutnya, Malaysia mempunyai pengalaman dalam pembangunan institusi Islam, pendidikan, dakwah, kebajikan, kewangan Islam dan halal yang boleh menjadi asas kepada pembinaan kekuatan kolektif umat.
“Kesatuan ummah tidak akan lahir hanya melalui slogan. Ia perlu dibina melalui kepercayaan, dialog, ilmu, adab dan amal bersama yang berterusan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
