PUTRAJAYA – Seramai 652 penjawat awam menerima ganjaran berjumlah RM1.18 juta sejak 2012 hingga 2025 selepas tampil melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, daripada jumlah itu, 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 lagi menerima sijil penghargaan.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam, tetapi juga menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 Bil. 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Menurutnya, PDRM mencatatkan penerima tertinggi iaitu 437 orang, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebanyak 64 orang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seramai 33 orang dan KPDN dengan 21 orang.
Bagi penilaian 2026, sebanyak 54 calon daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan membabitkan 30 kertas siasatan dengan nilai rasuah yang cuba disogokkan berjumlah RM304,621.
Antara kes diketengahkan ialah penolakan tawaran rasuah RM200,000 oleh seorang pegawai PDRM di Perlis berkaitan kes rampasan dadah syabu seberat 1.8 tan.
Abd Halim turut menyeru lebih ramai penjawat awam, khususnya pegawai bahagian perolehan, tampil menyalurkan maklumat bagi membantu membendung kegiatan rasuah.
“Keberanian penjawat awam untuk tampil melaporkan cubaan rasuah amat penting dalam membantu usaha membendung kegiatan rasuah dan memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SPRM
