BAGAN DATUK – Gangguan talian telekomunikasi di Sungai Dulang dan kawasan sekitar sejak semalam dipercayai berpunca daripada kejadian kecurian kabel.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh berkata, beliau menerima makluman daripada sahabat-sahabat Pemuda serta penduduk berhubung masalah berkenaan.
“Saya dapat berhubung pihak MCMC Perak malam tadi dan memanjangkan perkara ini untuk tindakan serta bantuan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, kemudahan telekomunikasi merupakan satu keperluan penting kepada penduduk khususnya bagi urusan harian.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memulihkan semula perkhidmatan di kawasan terjejas.
“Namun, mungkin mengambil sedikit masa dua hingga tiga hari,” katanya.
Muhammad Nabil turut merakamkan penghargaan kepada MCMC Perak dan pihak berkaitan atas respons serta tindakan pantas diberikan.
Beliau juga menghargai penduduk dan sahabat-sahabat Pemuda yang segera menyalurkan maklumat mengenai gangguan berkenaan. – DETIK MALAYSIA
