KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Jabatan Peguam Negara memberi perhatian terhadap sebuah lagi syarikat yang dikaitkan dengan individu sama dalam isu pelaburan saham i-RPS.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada 210 individu yang mendakwa menjadi mangsa program pelaburan saham i-RPS membabitkan tiga syarikat tempatan dengan jumlah kerugian RM101.77 juta.
“Mangsa-mangsa percaya dengan program pelaburan yang ditawarkan disebabkan figura terkenal dan terkemuka yang digunakan syarikat berkenaan sebagai ikon penawaran program pelaburan saham i-RPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada Mei lalu, beberapa individu berkaitan telah didakwa atas kesalahan jenayah Kanun Keseksaan dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, termasuk seorang wanita yang memegang jawatan pengarah dalam sebuah syarikat yang menawarkan program berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sebuah lagi syarikat berkaitan yang didakwa masih belum dikenakan sebarang pertuduhan terhadap individu yang berkaitan.
“MHO ingin membawa pendapat mangsa yang mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya pertuduhan lain di bawah Kanun Keseksaan, Akta Skim Kepentingan 2016 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dipertimbangkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hishamuddin berkata, 66 mangsa yang mendakwa diperdaya sebuah syarikat menawarkan pelaburan hartanah turut hadir bagi mendapatkan maklum balas mengenai siasatan terhadap syarikat berkenaan.
Katanya, mangsa mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM3.16 juta dan memohon penjelasan berhubung status siasatan kerana individu yang didakwa sebagai dalang utama masih bebas.
“MHO berharap suara mangsa-mangsa ini didengari dan keadilan dapat ditegakkan bagi semua pihak yang terjejas,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MHO
