KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Alliansi Masjid Sedunia Pertahan Al Aqsa (MANAR) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) menyokong kecaman Arab Saudi terhadap tindakan provokasi berterusan serta serangan terhadap kesucian Masjidil Aqsa oleh pihak berkuasa Israel dan kumpulan peneroka ekstremis.
Dalam kenyataan bersama hari ini, ketiga-tiga pertubuhan itu turut menyokong pendirian Riyadh yang menolak sebarang retorik perluasan kuasa Israel membabitkan pelan pengilhakan wilayah di selatan Lubnan serta kawasan di Semenanjung Gaza.
Mereka berkata, Arab Saudi turut menegaskan semula hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Bagaimanapun, kami menegaskan bahawa sekadar kenyataan kecaman tidak lagi memadai untuk menghentikan kezaliman sistematik rejim Israel.
“Walaupun kami mengalu-alukan pendirian tegas Arab Saudi, kegentingan situasi semasa menuntut tindakan yang konkrit dan drastik,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka menggesa Arab Saudi supaya memutuskan sepenuhnya semua bentuk hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel, sama ada secara rasmi, tidak rasmi mahupun di belakang tabir.
Menurut mereka, sebarang bentuk rundingan berterusan hanya akan memberi keberanian kepada pihak Israel untuk terus melanggar undang-undang antarabangsa tanpa memikirkan kesannya.
Dalam pada itu, ketiga-tiga pertubuhan berkenaan turut menuntut semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya bersatu dan melancarkan tekanan terhadap Israel susulan ancaman yang didakwa semakin memuncak terhadap Masjidil Aqsa.
“OIC mesti melangkah melampaui retorik diplomatik dan menggembleng langkah politik, ekonomi serta strategik secara kolektif bagi mempertahankan Masjidil Aqsa dan melindungi status agama serta sejarah Baitulmaqdis,” katanya.
Mereka turut menyatakan pendirian bersama umat Islam di peringkat global dalam menuntut penghentian segera sebarang pencerobohan di Masjidil Aqsa, selain menyeru solidariti antarabangsa bagi memelihara hak serta kedaulatan rakyat Palestin.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, Pengerusi MANAR, Datuk Seri Ahmad Awang, dan Pengerusi SHURA, Dato Wira Abdul Ghani Samsudin. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Astro AWANI/Shahir Omar
