KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku seksual yang berlaku di institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya memandang serius insiden salah laku seksual yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini.
“Kes tersebut amat dikesali dan tindakan telah diambil oleh pihak polis. Semua suspek yang terlibat telah ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut Fadhlina, beliau telah mengarahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memberikan kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang dijalankan.
“KPM tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbabit dalam salah laku seperti ini. Tindakan paling tegas perlu diambil terhadap pesalah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan empat pelajar lelaki Tingkatan Lima yang disyaki merogol bergilir-gilir seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga dalam sebuah kelas di Alor Gajah, minggu lalu, direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Melaka di Ayer Keroh, hari ini.- DETIK MALAYSIA
Foto kredit - FB Fadhlina Sidek