BAGAN DATUK – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Perak, mengalami kecederaan parah dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku kelmarin.
Menurut kenyataan Friends of MCDF, mangsa dilaporkan mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk jantung dan buah pinggang bengkak, tujuh tulang rusuk patah, usus rosak (mati), tangan kiri patah tebu serta kedua-dua kaki kiri dan kanan patah.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa mangsa telah dibawa ke Hospital Teluk Intan dan dimasukkan ke dewan bedah pada pukul 11.50 pagi tadi bagi menerima rawatan lanjut.
“Selepas pembedahan, anggota tersebut akan ditempatkan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan. Status beliau kini ditidurkan bagi memudahkan proses rawatan dan pemulihan,” jelas kenyataan itu.
Friends of MCDF turut menyeru orang ramai agar mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan segera buat mangsa.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar beliau dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesembuhan yang segera serta diberi kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan. Semoga Allah SWT mengangkat segala kesakitan dan menggantikannya dengan nikmat kesihatan, insya-Allah,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Friends of MCDF