KUALA LUMPUR – Kisah tular mengenai Adik Muhammad Ashraf Saipul Nizam yang sebelum ini berhenti belajar dan menjual roti sandwich di hadapan stesen MRT Bukit Bintang akhirnya berakhir dengan khabar gembira apabila beliau bakal menyambung semula pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School minggu depan.
Muhammad Ashraf sebelum ini terpaksa menangguhkan pengajiannya kerana ingin menyara ibu dan bapanya yang sakit terlantar di rumah keluarga mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cheras.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya telah berjumpa sendiri dengan Muhammad Ashraf pada Jumaat lalu bagi memujuknya kembali melanjutkan pengajian.
“Alhamdulillah, Mara telah bersetuju menyambung pembiayaan pengajian beliau beserta wang saku bulanan sebanyak RM800. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga bersetuju untuk membantu keluarga ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menyeru masyarakat agar lebih peka terhadap kes-kes pelajar cemerlang yang terpaksa berhenti belajar disebabkan masalah kewangan dan kemiskinan.
“Saya selalu tekankan bahawa hanya ilmu boleh mengubah kehidupan. Insya-Allah, ilmu juga mampu mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Kisah perjuangan Muhammad Ashraf sebelum ini menyentuh hati ramai apabila beliau gigih menjual roti bagi menampung kehidupan keluarganya, meskipun pernah menjadi pelajar cemerlang di UniKL.
Dengan bantuan yang diterima, beliau kini berpeluang untuk menamatkan pengajiannya dan mengubah masa depan keluarganya. - DETIK MALAYSIA