SEBERANG TAKIR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama KRT Teluk Ketapang (TK), JPKKP TK dan KHTK menganjurkan program Bina Persepsi & Bina Budaya Aktivisme Kepenggunaan, baru-baru ini.
Program berkenaan disertai kira-kira 70 komuniti yang mendapat pendedahan berkaitan budaya kepenggunaan serta peranan sebagai pengguna yang lebih sedar.
Program itu merangkumi tiga slot utama iaitu Pengenalan kepada Budaya Pengguna serta Peranan Pengguna Sedar, Pengguna dan Alam Siber serta Realiti Pengguna Sedar.
Slot pertama memberi penekanan terhadap pemahaman mengenai realiti budaya pengguna selain analisis isu semasa berkaitan kepenggunaan termasuk aspek pemakanan, kesihatan, gaya hidup serta kelestarian hidup dan alam sekitar.
Bagi slot kedua pula, peserta didedahkan dengan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian selain menilai perkara yang memberi manfaat dan mudarat dalam alam siber.
Peserta turut diberikan panduan bagi mengelakkan ketagihan terhadap dunia media sosial.
Sementara itu, slot ketiga memberi tumpuan kepada langkah praktikal untuk menjadi pengguna yang lebih sedar terhadap tipu helah dunia komersial selain menerapkan nilai positif terutama dalam kalangan komuniti.
Program berkenaan diharapkan dapat memberi manfaat kepada komuniti Teluk Ketapang yang hadir, selain meningkatkan perhatian masyarakat khususnya dalam mendepani cabaran Generasi Z. – DETIK MALAYSIA
