KUANTAN – Kegembiraan sekumpulan penunggang motosikal Yamaha RX-Z berkonvoi bertukar tragedi apabila empat daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan beberapa motosikal di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kemaman berhampiran Jabor di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Mangsa yang maut ialah Che Mohd. Sufian Che Ghani, 40, dari Bachok, Kelantan; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dari Dungun, Terengganu; Mohd. Aizat Husni, 33, dari Besut, Terengganu serta Muhammad Safawi Md. Noh, 24, dari Felda Neram, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dan beberapa motosikal yang sedang bergerak ke arah Kemaman.
“Seorang penunggang motosikal dipercayai melanggar bahagian belakang kereta sebelum terjatuh di lorong kanan. Beberapa motosikal lain yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu berlaku pelanggaran berantai,” katanya.
Beliau berkata, lebih 20 mangsa yang cedera dihantar ke HTAA dan Hospital Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas tersebut.
Difahamkan, kumpulan penunggang motosikal itu dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas menyertai konvoi dan singgah di sebuah restoran di Kuantan sebelum tragedi berkenaan berlaku. – DETIK MALAYSIA
