KUALA LUMPUR – Rakyat diingatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada subsidi dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar ketika ini.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kebergantungan berterusan kepada subsidi tanpa reformasi struktur ekonomi hanya memberi kelegaan sementara dan tidak menyelesaikan punca sebenar kelemahan ekonomi negara.
Menurutnya, situasi global yang dipengaruhi krisis tenaga, konflik geopolitik dan tekanan inflasi menjadikan daya tahan ekonomi domestik semakin penting.
“Subsidi memainkan peranan penting dalam melindungi golongan rentan, namun pergantungan berlebihan boleh membebankan fiskal negara, menjejaskan kecekapan pasaran serta melemahkan produktiviti dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam jangka panjang, keadaan itu berpotensi menjadikan ekonomi negara rapuh apabila berdepan kejutan luar.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat mengamalkan kepenggunaan berhemah sebagai benteng ekonomi dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak, mengelakkan pembaziran serta hutang tidak produktif.
“Pengguna juga digalakkan menyokong produk tempatan, selain membudayakan amalan berjimat dan perancangan kewangan yang lebih teratur,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan mempercepatkan reformasi struktur ekonomi termasuk memperkukuh sekuriti makanan, mengurangkan kebergantungan kepada import dan meningkatkan pendapatan rakyat melalui pekerjaan bernilai tinggi.
Katanya, pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih adil dan cekap juga penting bagi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan menerima bantuan.
“Kerajaan perlu seimbang antara melindungi rakyat dan membina keupayaan mereka untuk berdikari. Bantuan tanpa pemerkasaan hanya akan mewujudkan kebergantungan berpanjangan,” jelasnya.
Tambah beliau, pendidikan kewangan nasional perlu diperkasa bagi melahirkan masyarakat yang lebih celik ekonomi dan berdisiplin dalam perbelanjaan.
“Subsidi perlu dilihat sebagai alat sementara, bukan tongkat kekal. Masa depan negara bergantung kepada keberanian melakukan reformasi serta membina budaya kepenggunaan yang bertanggungjawab,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI