KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius insiden kebocoran besar di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menyebabkan limpahan air seperti ‘air terjun’ di ruang terminal, sekali gus mencemarkan reputasi salah satu aset infrastruktur paling kritikal negara.
Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menjelaskan bahawa insiden tersebut berpunca daripada 'kesilapan kontraktor' ketika kerja-kerja baik pulih bumbung dan sistem saliran sedang dijalankan.
Namun, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, penjelasan itu tidak memadai dan tidak menjawab persoalan utama berhubung kegagalan pengawasan dalam projek kritikal.
Menurut Jais, kerja baik pulih di bangunan setaraf KLIA sepatutnya diselia ketat oleh jurutera tapak, pegawai pengawasan dan kawal selia teknikal yang cekap.
“Jika kesilapan kontraktor pun tidak dapat dicegah atau dikesan lebih awal, ini jelas menunjukkan kegagalan pengawasan serta kelemahan dalam kawalan kualiti oleh pihak MAHB,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCW turut mempersoalkan kenyataan MAHB bahawa kerja besar-besaran sedang dilakukan kerana infrastruktur semakin uzur.
“Persoalannya, mengapa bumbung dibiarkan sehingga perlu kerja baik pulih berskala besar? Adakah penyelenggaraan pencegahan (preventive maintenance) diabaikan? Adakah kebocoran kecil sebelum ini tidak ditangani?” katanya.
Menurut badan itu, insiden berskala besar seperti ini menunjukkan budaya penyelenggaraan aset strategik negara masih lemah.
Beliau berkata, insiden kebocoran ini berlaku selepas isu Aerotrain tahun lalu, menunjukkan beberapa kegagalan berturut-turut dalam pengurusan lapangan terbang utama negara.
“KLIA adalah pintu masuk pertama pelancong dan pelabur. Setiap kelemahan teknikal memberi kesan langsung kepada persepsi dunia terhadap Malaysia,” jelasnya.
Sehubungan itu, MCW menggesa MAHB mendedahkan secara terperinci nama kontraktor dan subkontraktor terlibat serta nilai kontrak dan skop kerja.
“Rakyat berhak tahu bagaimana kesilapan sebesar ini boleh berlaku di lapangan terbang bertaraf antarabangsa,” katanya.
MCW menegaskan integriti pengurusan aset negara berpunca daripada disiplin penyelenggaraan, ketelusan kontrak dan keberkesanan sistem pengawasan.
Insiden KLIA, katanya, adalah ‘red flag’ mengenai kelemahan tata kelola yang perlu diperbetulkan segera.
Badan itu turut memaklumkan akan terus memantau perkembangan dan sedia mengadakan sesi libat urus dengan MAHB bagi memastikan piawaian integriti dan penyelenggaraan ditingkatkan. - DETIK MALAYSIA