KUALA LUMPUR – Kes rasuah melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah bukan sekadar melibatkan angka semata-mata, sebaliknya mencerminkan penderitaan rakyat yang sepatutnya menikmati kemudahan asas bekalan air secara lebih sempurna.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak pendakwaan serta semua pegawai penguat kuasa yang konsisten meneruskan siasatan dan pendakwaan walaupun mengambil masa hampir sedekad.
Menurut beliau, usaha membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata.
Katanya, reformasi tadbir urus, pemantauan projek awam, pengisytiharan aset serta budaya integriti dalam perkhidmatan awam perlu diperkukuhkan secara menyeluruh.
“Amanah bukan keistimewaan untuk memperkayakan diri. Amanah adalah tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Cepat atau lambat, setiap pengkhianatan terhadap amanah akhirnya akan dipersoalkan di mahkamah dunia dan akhirat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media tempatan sebelum ini melaporkan keputusan Mahkamah Khas Rasuah yang menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 96 tahun serta denda RM284.3 juta terhadap bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib atas kesalahan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM45 juta. – DETIK MALAYSIA