KUALA LUMPUR – Koperasi HTK (KHTK) bakal membawa nama Terengganu ke pentas antarabangsa apabila dipilih menyertai Celebes International Summit on Education and Culture yang menghimpunkan pemain industri pelancongan, pendidikan dan kebudayaan di Makassar, Indonesia pada Oktober depan.
Penyertaan itu memberi peluang kepada KHTK mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2027 (VM2027) dan Visit Truly Terengganu 2027 kepada ribuan pelancong tempatan serta antarabangsa yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar.
Jemputan tersebut diberikan sempena penganjuran Celebes International Summit on Education and Culture anjuran bersama Kementerian Pelancongan Indonesia, Southeast Asia Academy Mobility, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin dan Institut Agama Islam (IAI) Rawa Aopa, Konawe Selatan, Sulawesi Tenggara yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 11 Oktober 2026.
Program itu merupakan usaha mempromosikan wilayah timur Indonesia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, di samping mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.
Seramai 30 wakil KHTK akan menyertai program berkenaan, manakala sebuah reruai khas disediakan penganjur bagi mempromosikan produk homestay serta pelbagai tarikan pelancongan Terengganu.
Antara pengisian utama program ialah ekspo produk, pelancongan dan kebudayaan, forum antarabangsa, sesi talk show mengenai amalan terbaik KHTK dalam membangunkan pelancongan desa dan edu-pelancongan, Forum Edu-Pelanancongan Malaysia-Indonesia serta perkongsian sejarah diaspora Bugis (Makassar) yang singgah di Teluk Ketapang pada abad ke-18.
Penyertaan itu diharap dapat memperkenalkan Terengganu dengan lebih meluas kepada pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus memperkukuh hubungan pelancongan serta kebudayaan antara Malaysia dan Indonesia. – DETIK MALAYSIA
