PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C selepas didapati melanggar syarat lesen dalam rondaan operasi bersepadu di kedudukan kira-kira 16.6 batu nautika barat daya Tanjung Karang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua vesel itu dikesan oleh Kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OPEHSAN, OP KHAS TANJUNG 2 SIRI 1/2026 dan OP MARDOF SIRI 2 BIL 1/2026.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan sembilan kru lelaki berusia antara 24 hingga 50 tahun yang kesemuanya warga Myanmar.
“Siasatan awal mendapati kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain tidak memiliki permit kerja atau kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Maritim Malaysia turut merampas hasil tangkapan ikan campur seberat kira-kira 450 kilogram sebelum kesemua kru bersama bot ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menggajikan warga asing tanpa kelulusan, selain Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pengenalan diri yang sah.
Dalam pada itu, Abdul Muhaimin menegaskan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan aktiviti perikanan di perairan Selangor mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan pemilik vesel agar tidak menyalahgunakan lesen yang dikeluarkan kerana ia boleh menjejaskan industri perikanan tempatan serta sumber negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkannya kepada Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 03-3176 0627 untuk tindakan segera. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Maritim Selangor
