KUALA LUMPUR – Sebarang kenyataan yang merendahkan martabat Nabi Isa a.s. tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepentingan politik.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, reaksi terhadap naratif terbaharu yang dikaitkan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta sokongan terhadap Israel, mencetuskan kebimbangan kerana menyentuh sensitiviti agama yang dikongsi oleh umat Islam dan Kristian.
“Tindakan memperalatkan Nabi Isa sebagai simbol politik adalah satu penghinaan terhadap agama dan warisan spiritual yang dikongsi oleh berbilion manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, dalam Islam, Nabi Isa a.s. merupakan antara rasul utama, manakala dalam Kristian, Jesus Christ menjadi tunjang kepercayaan dan keselamatan (salvation).
“Nilai yang dibawa oleh Nabi Isa seperti kasih sayang, keadilan dan kebenaran sepatutnya menjadi asas perpaduan, bukan perpecahan,” ujarnya.
Tambahnya, penggunaan tokoh agama untuk menghalalkan penindasan, kebencian atau dominasi adalah satu bentuk penyalahgunaan agama.
“Jelas sekali, Nabi Isa tidak pernah mengajar penindasan, tidak menyokong kezaliman dan tidak berpihak kepada tirani. Maka, menggunakan namanya untuk menyokong dasar yang menindas adalah satu percanggahan nyata,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin agama Islam dan Kristian di seluruh dunia agar bersatu mempertahankan kesucian Nabi Isa serta menolak sebarang naratif politik yang memesongkan ajaran baginda.
“Dialog antara agama perlu diperkukuh berasaskan nilai bersama seperti keadilan dan belas ihsan, serta bersuara menentang ketidakadilan di mana sahaja ia berlaku,” katanya.
Menurutnya lagi, dalam dunia yang semakin berpecah, suara moral berasaskan agama perlu melangkaui kepentingan politik sempit.
“Perpaduan antara umat Islam dan Kristian bukan sekadar strategi, tetapi satu keperluan moral. Apabila kita mempertahankan martabat Nabi Isa, kita sebenarnya mempertahankan kebenaran, keimanan dan kemanusiaan,” jelasnya.
Beliau menegaskan, Nabi Isa a.s. bukan milik mana-mana agenda politik, sebaliknya milik nurani seluruh manusia.
“Marilah kita bersama mempertahankan nilai yang dibawa baginda keadilan, rahmat dan kebenaran,” katanya. – DETIK MALAYSIA