KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru umat Islam menjadikan ketibaan Tahun Baharu Hijrah 1448H sebagai titik muhasabah dan kebangkitan semula ummah dalam menghadapi pelbagai cabaran di peringkat nasional serta global.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, umat Islam ketika ini berdepan pelbagai krisis termasuk konflik berterusan di Palestin, peperangan di beberapa negara Islam, ketidaksamaan ekonomi, kemiskinan, keruntuhan nilai, Islamofobia dan dominasi kuasa besar dunia.
Menurut beliau, semangat Hijrah perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memperkukuh kedudukan umat Islam dari aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan kemanusiaan.
“Sudah tiba masanya umat Islam keluar daripada budaya berpecah-belah, berasa lemah dan bergantung kepada pihak lain.
“Perubahan hanya akan berlaku apabila umat sendiri bersedia mengubah keadaan mereka,” katanya dalam Pernyataan Azam 1448 Hijrah MAPIM hari ini.
Dalam kenyataan itu, MAPIM menggariskan 10 azam utama yang akan menjadi fokus gerakan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut sepanjang tahun Hijrah baharu.
Antaranya memperkukuh kesatuan ummah, memperjuangkan pembebasan Palestin dan Masjid Al-Aqsa, menentang kezaliman serta penindasan global, membina kesedaran strategik umat dan memperkasa generasi muda.
Selain itu, MAPIM turut menekankan usaha memperluas gerakan kemanusiaan, memperkasa institusi umat, memartabatkan integriti dan kepimpinan beramanah, membangunkan kemandirian ekonomi ummah serta menghidupkan semangat Hijrah sebagai agenda perubahan menyeluruh.
Mohd Azmi berkata, masjid, NGO, institusi pendidikan dan masyarakat sivil perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai ejen perubahan dalam membina kekuatan sosial, ekonomi dan intelektual umat.
Beliau berharap Tahun Baharu Hijrah 1448H menjadi pemangkin kepada pembinaan ummah yang lebih bersatu, bermaruah dan mampu berperanan sebagai rahmat kepada seluruh alam.
MAPIM mengangkat tema “Dari Perpecahan Kepada Kebangkitan: Membina Kesatuan, Maruah dan Kekuatan Ummah” sebagai teras perjuangan sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini. – DETIK MALAYSIA