Gambar hiasan.
SHAH ALAM – Sebuah masjid yang dibina hasil sumbangan serta wakaf masyarakat Islam dari Malaysia dan Brunei bakal dirasmikan menerusi lawatan rasmi dua pertubuhan wanita Islam ke Kemboja bermula 28 hingga 31 Mei ini.
Lawatan itu melibatkan Persatuan Salimah Malaysia dan Kumpulan Meraih Barkah Brunei ke Masjid Jalinan Ukhuwah Salimah Malaysia dan Meraih Barkah Brunei di Kampung Kok, Kemboja.
Menurut kenyataan, pembinaan masjid berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Belia Kemboja untuk Komuniti Muslim (YACMC) melibatkan kos sebanyak RM255,400.
“Usaha mengumpul dana oleh kedua-dua persatuan ini menjadi simbol kekuatan perpaduan, keprihatinan serta semangat gotong-royong masyarakat Islam di kedua-dua negara.
“Ia juga membuktikan kerjasama erat NGO Islam antarabangsa dalam memperkukuh pembangunan institusi masjid,” menurut kenyataan tersebut.
Delegasi lawatan diketuai Naib Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Hajah Nooriyah Mohamed Ali bersama 29 ahli rombongan dari Malaysia dan Brunei.
Menurut kenyataan itu, pembinaan masjid bermula pada September tahun lalu dan telah siap sepenuhnya termasuk penganjuran solat Jumaat pertama pada 22 Mei lalu.
“Majlis perasmian dijangka berlangsung pada hari ketiga Aidiladha iaitu 29 Mei ini selain turut menyaksikan program korban di masjid tersebut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, usaha berkenaan diharap menjadi inspirasi kepada lebih banyak kerjasama strategik antara NGO Islam dalam memperkukuhkan institusi masjid sebagai nadi pembangunan ummah. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Mapim / Gambar hiasan