SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memandang serius pendedahan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bahawa lebih 14,800 pemastautin cukai Malaysia mempunyai baki melebihi RM10 bilion dalam akaun di luar negara.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jumlah tersebut bukan kecil dan mencerminkan masalah struktur dalam tadbir urus ekonomi serta keadilan sosial negara.
“Ketika rakyat biasa bergelut dengan kos sara hidup, tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi, wujud kelompok yang berupaya memindahkan kekayaan ke luar negara sama ada untuk pengelakan cukai, perlindungan aset atau pelaburan tanpa sumbangan setimpal kepada negara. Ini menimbulkan persoalan besar tentang keadilan fiskal dan amanah kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mapim menggariskan empat perkara utama berhubung isu tersebut.
Menurutnya, isu ini bukan sekadar soal undang-undang, tetapi menyentuh aspek moral dan tanggungjawab sosial.
“Kekayaan yang dijana dalam ekosistem negara membawa bersama tanggungjawab untuk menyumbang semula kepada pembangunan rakyat, perkhidmatan awam, pendidikan, kesihatan dan jaringan keselamatan sosial,” jelasnya.
Kedua, beliau berkata kebocoran kewangan berskala besar melemahkan daya tahan ekonomi negara.
“RM10 bilion yang berada di luar negara adalah potensi besar untuk pelaburan domestik, penciptaan pekerjaan, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana, serta pengukuhan ekonomi rakyat,” tambahnya.
Ketiga, Mapim menyokong langkah LHDN untuk memperkukuh penguatkuasaan, kerjasama rentas sempadan dan audit kewangan antarabangsa, namun menegaskan tindakan mesti menyentuh golongan berprofil tinggi dan berpengaruh, bukan hanya pembayar cukai kecil.
Keempat, beliau menyeru agar reformasi sistemik dipercepatkan termasuk penambahbaikan rangka kerja cukai, ketelusan pemilikan aset, pelaporan kewangan lintas negara serta pendidikan kesedaran bahawa membayar cukai adalah sebahagian daripada kontrak sosial dan patriotisme ekonomi.
“Mapim percaya bahawa keadilan ekonomi adalah asas kestabilan sosial dan maruah negara. Negara tidak akan kukuh jika kekayaan beredar ke luar, sementara beban terus ditanggung oleh majoriti rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim menyeru kerajaan bertindak tegas, berprinsip dan konsisten; menggesa golongan berada kembali kepada amanah sosial; serta mengajak masyarakat menuntut sistem ekonomi yang adil, telus dan berteraskan kemanusiaan.
“Ekonomi yang sihat bukan diukur oleh angka kekayaan segelintir pihak, tetapi oleh kesejahteraan menyeluruh rakyat,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA