KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan kompaun dan tindakan tatatertib terhadap seorang kakitangannya yang didapati merokok di premis makanan disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menegakkan undang-undang tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, penguatkuasaan yang dilaksanakan secara adil dan konsisten mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam.
Menurutnya, tindakan KKM itu membuktikan bahawa penjawat awam turut tertakluk kepada undang-undang yang sama seperti rakyat lain serta perlu menjadi contoh terbaik dalam mematuhi peraturan.
“MCW menyambut baik tindakan pantas KKM mengenakan kompaun dan tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang didapati merokok di premis makanan.
“Penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Tindakan ini membuktikan bahawa penjawat awam juga tertakluk kepada undang-undang yang sama serta perlu menjadi teladan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam konteks integriti perkhidmatan awam, pematuhan terhadap peraturan bukan sekadar mengelakkan hukuman, sebaliknya mencerminkan budaya akauntabiliti dan tanggungjawab yang perlu diperkasakan dalam kalangan penjawat awam.
Mengulas persoalan sama ada seseorang yang telah dikenakan kompaun masih boleh dikenakan tindakan tatatertib, beliau menjelaskan kedua-dua tindakan tersebut mempunyai tujuan yang berbeza dan boleh dilaksanakan secara serentak sekiranya diperuntukkan oleh undang-undang.
“Kompaun merupakan hukuman terhadap kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), manakala tindakan tatatertib bertujuan memastikan integriti, disiplin dan imej perkhidmatan awam terus terpelihara.
“Jika hanya tindakan tatatertib diambil tanpa penguatkuasaan undang-undang, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa penjawat awam menerima layanan istimewa.
“Sebaliknya, gabungan kedua-dua tindakan menunjukkan prinsip bahawa tiada siapa mengatasi undang-undang dan setiap penjawat awam perlu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat,” ujarnya.
Jais berkata, pendekatan tegas seperti itu wajar diteruskan oleh semua agensi kerajaan bagi memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Katanya, penguatkuasaan yang konsisten bukan sahaja memastikan pematuhan undang-undang, malah membantu membudayakan integriti dalam setiap aspek pentadbiran kerajaan.
“Budaya integriti perlu diterapkan secara menyeluruh dan berterusan. Penguatkuasaan tanpa pilih kasih akan meningkatkan keyakinan rakyat bahawa undang-undang ditegakkan secara saksama terhadap semua pihak,” katanya. – DETIK MALAYSIA