SHAH ALAM – Pengurusan tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan wajar kekal di bawah institusi agama yang mempunyai autoriti syariah, meskipun projek pembangunannya dilaksanakan menerusi kerjasama awam swasta (PPP).
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap pelaksanaan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dimeterai pada 6 Julai lalu.
“Tanah perkuburan Islam bukan sekadar aset fizikal atau projek pembangunan infrastruktur, sebaliknya merupakan institusi agama yang mempunyai implikasi syariah, hukum hakam fiqh jenazah, pengurusan wakaf, sensitiviti umat Islam serta amanah yang berkaitan secara langsung dengan maruah umat Islam sehingga ke akhir hayat mereka.
“Atas sebab itu, dasar, pentadbiran, pengurusan dan tadbir urus tanah perkuburan Islam hendaklah diletakkan di bawah institusi Islam yang mempunyai autoriti agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau mana-mana entiti Islam yang diberikan mandat secara sah oleh pihak berkuasa agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sekiranya terdapat keperluan kepakaran teknikal, pembinaan infrastruktur, kejuruteraan atau pengurusan fasiliti, penglibatan syarikat swasta boleh dipertimbangkan sebagai kontraktor atau penyedia perkhidmatan teknikal semata-mata.
“Walau bagaimanapun, kuasa membuat keputusan, dasar pengurusan dan kawal selia syariah mestilah kekal berada di bawah institusi Islam.
“Mapim juga berpandangan projek yang melibatkan tanah perkuburan Islam memerlukan tahap ketelusan yang tinggi serta konsultasi awam yang mencukupi dengan pihak berkuasa agama, badan-badan masjid, NGO Islam dan masyarakat Islam sebelum sebarang keputusan strategik dilaksanakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan terperinci mengenai skop penglibatan syarikat swasta dalam projek berkenaan, termasuk bidang kuasa pengurusan, pemilikan, operasi serta mekanisme pematuhan syariah yang akan dilaksanakan. – DETIK MALAYSIA
