SHAH ALAM – Penyelesaian isu Kashmir adalah jelas dan telah termaktub dalam undang-undang antarabangsa iaitu menamatkan pendudukan, memulihkan hak rakyat serta membenarkan mereka menentukan nasib sendiri.
Dalam kenyataan sempena Hari Kashmir 2026, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyatakan solidariti penuh terhadap rakyat Jammu dan Kashmir yang telah berdepan lebih tujuh dekad pendudukan, penindasan dan penafian hak asasi.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, kebenaran tetap tidak dapat dinafikan bahawa punca utama konflik adalah pendudukan yang berterusan.
“Rakyat Kashmir terus menderita akibat pembunuhan di luar proses undang-undang, tangkapan politik besar-besaran, kehilangan paksa, sekatan pergerakan, perintah berkurung berpanjangan, gangguan komunikasi dan intimidasi sistematik.
“Ini bukan tadbir urus, ini adalah dominasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mapim turut mengecam dasar perubahan demografi yang didakwa dilaksanakan sejak pemansuhan Artikel 370 pada 2019 melalui pindaan undang-undang tanah, residensi dan pilihan raya.
Menurut Mapim, tindakan itu melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta bertujuan memadam identiti dan kehendak politik rakyat Kashmir.
Dalam pada itu, Mohd Azmi menuntut pembebasan segera tahanan politik termasuk pemimpin, wartawan, pelajar dan aktivis yang ditahan tanpa perbicaraan adil di bawah undang-undang yang disifatkan zalim.
“Kesalahan mereka hanyalah menuntut kebebasan. Membisukan suara tidak akan memadamkan kebenaran,” katanya.
Mapim turut mengingatkan bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 47 dan resolusi seterusnya mengiktiraf Kashmir sebagai wilayah dipertikaikan serta mengesahkan hak penentuan nasib sendiri.
Selain itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga berulang kali menggesa penamatan pelanggaran hak asasi manusia dan menghormati aspirasi rakyat Kashmir.
Sehubungan itu, Mapim mengemukakan enam tuntutan utama iaitu, pembebasan segera semua tahanan politik, pemansuhan undang-undang drakonian termasuk PSA, UAPA dan AFSPA, penamatan dasar perubahan demografi, pengunduran tentera India, pemulihan kebebasan bergerak, bersuara dan berhimpun serta pelaksanaan resolusi PBB melalui plebisit bebas dan adil
“Tiada keamanan di Asia Selatan tanpa keadilan di Kashmir. Tamatkan pendudukan. Pulihkan hak. Biarkan rakyat menentukan,” katanya.
Tambahnya, kenyataan tersebut turut disokong oleh MANAR, SHURA, Citizens International, MyChild International, Center for Peace Action and Development, Humanity in Action, SALIMAH Malaysia, Malaysia-Kashmir Youth Forum dan Malaysian Women for Kashmir. – DETIK MALAYSIA