SHAH ALAM – Aidilfitri hadir sebagai hari kemenangan setelah kita melalui madrasah Ramadan yang penuh tarbiyah, kesabaran dan pengorbanan. Namun, dalam kita menyambut hari yang mulia ini, hati kita tidak boleh terpisah daripada penderitaan saudara saudara kita di seluruh dunia.
Hari ini, ketika kita bergembira bersama keluarga, jutaan saudara kita sedang bergelut dengan penderitaan, penindasan dan peperangan.
Di Palestin, khususnya Gaza ,Tebing Barat dan Baitul Maqdis rakyat terus berdepan serangan, sekatan dan kehilangan nyawa.
Di Iran , umat Islam berdepan dengan serangan ganas tidak berprikemanusiaan oleh Amerika dan Zionis Israel hanya kerana Iran membela Palestin.
Di Kashmir , umat Islam terus hidup dalam tekanan dan penafian hak.
Di India , umat Islam berdepan diskriminasi yang semakin membimbangkan.
Rakyat Rohingya terus hidup sebagai pelarian tanpa negara dan tanpa masa depan yang pasti.
Di Xinjiang , umat Uyghur berdepan penindasan yang mencabar hak asasi dan kebebasan beragama.
Di Yemen dan Sudan, konflik berpanjangan telah memusnahkan kehidupan jutaan manusia.
Aidilfitri bagi mereka bukan hari kegembiraan. Ia adalah hari kelangsungan hidup.
Justeru, Mapim menyeru agar sambutan Aidilfitri tahun ini disertai dengan kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab terhadap nasib umat Islam di seluruh dunia.
Beberapa perkara yang perlu kita hayati:
● Jangan biarkan kegembiraan melupakan penderitaan umat
● Suburkan solidariti melalui doa, sumbangan dan tindakan
● Didik keluarga dan generasi muda tentang realiti umat
● Suarakan keadilan dan tolak kezaliman di mana sahaja
Aidilfitri bukan sekadar hari perayaan, tetapi hari memperbaharui komitmen kita sebagai satu Ummah.
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa umat Islam itu seperti satu tubuh. Apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasainya.
Jika kita masih mampu bergembira, itu adalah nikmat. Tetapi jika kita lupa, itu adalah kelalaian.
Mari kita berdoa:
Ya Allah, satukan hati umat Islam
Ya Allah, lindungi saudara saudara kami yang dizalimi
Ya Allah, kurniakan kemenangan kepada mereka yang tertindas
Ya Allah, jadikan kami sebahagian daripada usaha membela agamaMu
Semoga Aidilfitri ini bukan hanya membawa kegembiraan, tetapi membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab kita terhadap umat.
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H
Maaf Zahir dan Batin
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)