KUALA LUMPUR – Prinsip Kedaulatan Undang-Undang dalam Rukun Negara perlu diterjemahkan secara konsisten dalam pentadbiran negara dan bukan sekadar menjadi slogan dalam majlis rasmi.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, prinsip berkenaan bukan hanya mewajibkan rakyat mematuhi undang-undang, sebaliknya turut menuntut pemerintah, institusi negara dan golongan berpengaruh tertakluk kepada peraturan sama.
Menurut beliau, tiada mana-mana pihak boleh meletakkan dirinya lebih tinggi daripada undang-undang, termasuk mereka yang mempunyai kedudukan, pengaruh politik dan kekayaan.
“Undang-undang mesti berkuasa, bukan kuasa mengawal undang-undang. Sebuah negara tidak boleh mendakwa menjunjung kedaulatan undang-undang sekiranya peraturan hanya tegas terhadap rakyat biasa tetapi longgar apabila berhadapan dengan individu berpengaruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, persepsi wujudnya layanan berbeza dalam pelaksanaan undang-undang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman dan institusi penguatkuasaan.
Katanya, setiap dakwaan salah laku perlu disiasat secara profesional, telus dan tanpa campur tangan, selain menghormati prinsip seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Tambah beliau, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara turut menetapkan kerangka pelaksanaan kuasa kerajaan, manakala Perkara 8 menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta perlindungan undang-undang yang sama rata.
“Pemegang jawatan awam tidak boleh menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, manakala ahli politik tidak boleh menjadikan kedudukan sebagai perlindungan daripada akauntabiliti.
“Kuasa tanpa akauntabiliti membuka ruang kepada penyalahgunaan. Sebaliknya, kuasa yang dibatasi undang-undang membina pemerintahan yang dihormati,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kedaulatan undang-undang turut mempunyai kaitan rapat dengan keharmonian sosial, kestabilan politik dan pembangunan ekonomi.
Jelasnya, pelaksanaan undang-undang secara adil dapat memberikan keyakinan kepada pelabur, pekerja, pengguna dan masyarakat untuk menjalankan kehidupan serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Mengulas perspektif Islam, Mohd Azmi berkata, keadilan tidak boleh dikompromikan atas faktor hubungan kekeluargaan, kepentingan politik, kedudukan sosial atau keuntungan peribadi.
Beliau turut memetik Surah al-Nisa’ ayat 135 yang menyeru umat Islam supaya menegakkan keadilan dan menjadi saksi kerana Allah SWT, sekalipun terhadap diri sendiri.
Sehubungan itu, beliau menggariskan enam langkah bagi memperkukuh penghayatan prinsip berkenaan, termasuk memperkukuh kebebasan institusi kehakiman, memastikan penguatkuasaan konsisten dan meningkatkan ketelusan proses penyiasatan serta pendakwaan.
Langkah lain ialah memperluas akses kepada keadilan, memperkasakan pendidikan perlembagaan dan kenegaraan serta membudayakan akauntabiliti dalam kalangan pemimpin.
“Kedaulatan undang-undang hanya akan bermakna apabila setiap orang mendapat perlindungan sama dan setiap pemegang kuasa tertakluk kepada pertanggungjawaban yang sama.
“Undang-undang tidak boleh tunduk kepada kuasa. Kuasa mesti tunduk kepada undang-undang,” katanya. – DETIK MALAYSIA
