KUALA NERUS: Pasukan ragbi Terengganu memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila kedua-dua skuad lelaki dan wanita mengekalkan rekod tanpa kalah pada hari pembukaan Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, di sini, Sabtu.
Skuad wanita muncul antara pasukan paling menyerlah apabila mencatat dua kemenangan besar dalam saingan peringkat kumpulan menerusi kejayaan membelasah PDRM 52-0 sebelum menewaskan Melaka 43-0.
Keputusan itu menyaksikan Terengganu memulakan kempen dengan cukup meyakinkan tanpa membenarkan kedua-dua lawan mencatat sebarang mata.
Bagi kategori Terbuka Lelaki, pasukan tuan rumah turut mengekalkan rekod tanpa kalah meskipun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 14-14 ketika berdepan Kedah.
Keputusan positif kedua-dua pasukan itu memberikan permulaan baik kepada Terengganu dalam usaha mencabar kejuaraan edisi kali ini yang berlangsung selama tiga hari.

Dalam perkembangan lain, saingan kategori Terbuka Lelaki turut menyaksikan kejutan apabila juara bertahan Kelantan tewas 14-19 kepada Selangor sekali gus kehilangan rekod tanpa kalah yang dicatat pada edisi terdahulu.
Selangor memulakan perlawanan dengan pantas apabila memperoleh try dalam tempoh kurang seminit sebelum melengkapkan conversion untuk mendahului 7-0.
Kelantan kemudian bangkit mengikat kedudukan 7-7 pada penghujung separuh masa pertama, namun Selangor kembali menguasai permainan selepas rehat untuk mendahului 12-7 sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 19-14.
Kelantan yang sebelum itu menewaskan Pahang dengan kutipan 31 mata dijadualkan berdepan Johor pada Sabtu bagi aksi seterusnya peringkat kumpulan.
Johor turut memperlihatkan prestasi meyakinkan apabila mencatat dua kemenangan selepas membelasah Pahang 43-0 dan menewaskan Selangor 24-7.
Sebanyak 34 perlawanan peringkat kumpulan berlangsung pada hari pertama kejohanan sebelum baki saingan diteruskan Sabtu bagi menentukan pasukan yang layak ke peringkat suku akhir.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu itu dijadualkan melabuhkan tirai Ahad ini.
