KUALA LUMPUR – Kedaulatan undang-undang tidak boleh dilaksanakan secara pilih kasih atau mengikut kedudukan seseorang, sebaliknya perlu berlandaskan prinsip keadilan dan kesamarataan tanpa mengira pengaruh serta kuasa.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, gesaan tujuh Sasterawan Negara supaya undang-undang ditegakkan tanpa amalan dua darjat merupakan peringatan penting kepada kepimpinan negara dan masyarakat.
Menurutnya, tiada individu yang terlalu berkuasa sehingga terlepas daripada tanggungjawab undang-undang, manakala golongan lemah juga tidak sepatutnya dinafikan hak mendapatkan keadilan.
“Persoalannya bukan sama ada seseorang itu pernah menjadi Perdana Menteri atau mempunyai jasa kepada negara, tetapi sama ada setiap keputusan yang melibatkan hak, hukuman dan pelaksanaan keadilan dapat dipertanggungjawabkan berdasarkan undang-undang.
“Prinsip yang sama mesti terpakai kepada rakyat biasa yang tidak mempunyai kedudukan, kekayaan atau akses kepada kuasa politik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, perbahasan mengenai pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pelaksanaan tahanan rumah perlu dinilai berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta prinsip keadilan.
Katanya, kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati, namun proses dan tatacara yang ditetapkan juga mesti dipatuhi.
“Persoalan undang-undang yang wajar diteliti ialah sama ada keputusan berkenaan dibuat dalam lingkungan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan, sama ada prosedur yang diwajibkan telah dipatuhi dan sama ada pelaksanaannya mempunyai asas undang-undang mencukupi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, prinsip kesamarataan di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan perlu menjadi ukuran dalam memastikan tiada individu menikmati layanan berbeza tanpa asas perundangan yang sah.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan tahanan rumah memerlukan kerangka undang-undang yang jelas termasuk kuasa pengawasan, syarat pergerakan, pemantauan serta tindakan sekiranya berlaku pelanggaran syarat.
Dalam pada itu, katanya, keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Disember 2025 berhubung perintah tambahan tahanan rumah terdahulu tidak boleh secara automatik dianggap telah memutuskan kesahan keputusan baharu pada 18 September 2026.
“Cabaran baharu Majlis Peguam masih belum diputuskan pada 13 November 2026. Oleh itu, kita perlu membenarkan mahkamah menentukan persoalan undang-undang yang dibangkitkan,” katanya.
Beliau turut mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu ketelusan institusi, kesamarataan di sisi undang-undang dan pemulihan keyakinan rakyat terhadap institusi keadilan.
Tambahnya, kepercayaan masyarakat terhadap mahkamah, badan penguatkuasaan dan pentadbiran negara merupakan aset penting yang tidak boleh dikorbankan demi kepentingan politik jangka pendek.
“Negara yang berdaulat bukan negara yang membebaskan kuasa daripada batas, tetapi negara yang memastikan setiap kuasa dilaksanakan menurut Perlembagaan dan setiap rakyat mendapat perlindungan undang-undang yang adil,” katanya. – DETIK MALAYSIA
