GEORGE TOWN – Masjid Jamek Batu Uban yang berusia hampir 300 tahun wajar diangkat sebagai salah satu tapak warisan UNESCO bagi mengiktiraf kepentingannya dalam sejarah awal Pulau Pinang.
Gesaan itu disuarakan Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Pulau Pinang, Abdullah Mohd Nor yang berpandangan bahawa masjid berkenaan bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya mempunyai nilai sejarah yang besar sebagai antara bukti awal perkembangan masyarakat Melayu-Islam di negeri ini.
Menurutnya, usaha mengangkat martabat masjid berkenaan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta agensi berkaitan bagi memastikan khazanah sejarah itu terus dipelihara dan dikenali masyarakat.
Beliau berkata, Masjid Jamek Batu Uban mempunyai keistimewaan tersendiri kerana sejarah pembinaannya bermula pada 1734, iaitu 52 tahun sebelum kedatangan Kapten Francis Light ke Pulau Pinang pada 1786.

Masjid berkenaan diasaskan oleh ulama dan tokoh Minangkabau, Haji Muhammad Salleh atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Nan Intan yang berhijrah dari Sumatera.
Kehadiran beliau bersama rombongan ke Batu Uban turut menjadi sebahagian daripada sejarah pembukaan penempatan awal masyarakat Melayu di Pulau Pinang.
Malah, Batu Uban merupakan antara penempatan terawal di Pulau Pinang, manakala bangunan Masjid Jamek Batu Uban dipercayai sebagai masjid pertama seumpamanya yang didirikan di negeri ini.
Menurut Abdullah, kewujudan masjid berkenaan turut memainkan peranan penting dalam perkembangan kawasan sekitarnya apabila Batu Uban dipercayai menjadi pusat pertumbuhan penempatan lain termasuk Sungai Gelugor, Sungai Dua dan Jelutong.
Perkara itu sekali gus memperlihatkan kepentingan Batu Uban bukan sahaja dari sudut sejarah keagamaan, malah sebagai antara titik awal perkembangan komuniti dan penempatan masyarakat di Pulau Pinang.
Abdullah berkata, pihaknya cukup kagum melihat khazanah sejarah yang terdapat di sekitar masjid berkenaan dan masih dipelihara dengan baik oleh komuniti setempat, khususnya Telaga Air Purba yang mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan masyarakat terdahulu.

“Kami cukup kagum melihat khazanah sejarah sekeliling masjid yang masih dijaga rapi oleh komuniti setempat, terutamanya Telaga Air Purba yang pernah menjadi lubuk wuduk para pelaut dan jemaah terdahulu,” katanya.
Telaga berkenaan merupakan antara tinggalan bersejarah yang mempunyai nilai tersendiri kerana dikaitkan dengan kehidupan masyarakat dan pelaut yang menggunakan kawasan Batu Uban sebagai lokasi persinggahan suatu ketika dahulu.
Keunikan masjid yang terletak berhampiran pesisir pantai itu, termasuk kewujudan telaga lama serta kawasan perkuburan bersejarah di sekitarnya, menjadikan lokasi berkenaan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan sejarah dan budaya.
Sehubungan itu, Abdullah berkata, sokongan semua pihak amat penting bagi memastikan tapak warisan berkenaan terus dipelihara, selain diperkenalkan secara lebih meluas kepada generasi muda.
Katanya, usaha mempromosikan Masjid Jamek Batu Uban juga perlu dilaksanakan secara lebih tersusun menerusi dokumentasi sejarah, program pendidikan, lawatan warisan dan promosi pelancongan.
“Dengan pengiktirafan dan promosi yang sewajarnya, sejarah Masjid Jamek Batu Uban bukan sahaja dapat dipelihara, malah berpotensi menjadi antara tarikan warisan penting yang memperkenalkan sejarah awal Pulau Pinang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya. – DETIK MALAYSIA
