KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan komuniti penggiat seni menjalinkan kolaborasi penting bagi memperkukuhkan industri kreatif tanahair menerusi program sesi taklimat bersama Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).
Pengerusi FDAM, Datuk Adflin Shauki berkata, program ini bukan sekadar perkongsian ilmu tetapi usaha bersama bagi memastikan nilai integriti diterapkan dalam ekosistem kreatif yang mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat.
"Kerjasama dua hala ini membuka ruang dialog antara pihak penguat kuasa dan pemain industri seni bagi memahami cabaran serta keperluan sebenar dunia kreatif.
"Program ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi hubungan strategik antara SPRM dan penggiat seni," katanya ketika dalam ucapan pada sesi taklimat di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Hulu Klang, di sini hari ini.
Beliau berkata, kolaborasi ini dijangka menjadi pemangkin kepada budaya produksi kreatif yang lebih telus, beretika dan berintegriti tinggi di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik, Bahagian Pendidikan Masyarat SPRM, Aini Awang Muda telah berkongsi amalan tadbir urus baik, prinsip etika profesional serta panduan pengurusan integriti yang boleh diadaptasi dalam proses pengarahan, penerbitan dan penghasilan kandungan media.
Turut hadir, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, P/PKPj Hisyam Mohd Yusoff, wakil Karya Reels, pelakon Erma Fatima dan ahli-ahli FDAM. - DETIK MALAYSIA
