KUALA LUMPUR – ST Rosyam Mart milik Kumpulan Sri Ternak hari ini menganjurkan lawatan pasar raya sulung bersama media di cawangan baharunya di Jakel Square, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann berkata, pasar raya itu diwujudkan sebagai destinasi membeli-belah sehenti yang mengutamakan kemudahan, harga berpatutan serta sokongan terhadap produk tempatan.
"ST Rosyam Mart Jakel Square menawarkan destinasi membeli-belah sehenti yang menggabungkan kemudahan, harga berpatutan serta penghargaan terhadap produk tempatan.
“Matlamat kami jelas iaitu membantu individu dan perniagaan menjimatkan wang dan masa, sekali gus menikmati kehidupan yang lebih baik. Kami berharap lawatan ini membolehkan pihak media berkongsi keunikan ST Rosyam Mart ke seluruh negara,” katanya ketika ditemui media Jakel Square, di sini hari ini.
Beliau berkata, lawatan itu memberi peluang kepada wakil media meninjau konsep pasar raya borong halal 24 jam, rangkaian produk yang luas serta komitmen syarikat dalam menawarkan harga mampu milik kepada rakyat Malaysia dan pelancong.
Katanya, cawangan Jakel Square yang dibuka secara rasmi pada 17 Disember 2025 merupakan pasar raya kesembilan ST Rosyam Mart dan kedua di ibu negara.
Program berkenaan turut diserikan dengan Majlis Penyampaian Hadiah Misi Mencari Raja Konten, pertandingan penciptaan kandungan sempena pembukaan cawangan tersebut.
Hadiah utama bernilai RM10,000 dimenangi oleh pencipta kandungan dari Kuala Lumpur, Muhamad Suhaimi Mohamad Kabid, manakala lima pemenang lain masing-masing menerima RM2,000 bagi kategori terpilih.
Sementara itu, Pengarah ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor berkata, pihaknya teruja melihat kreativiti rakyat Malaysia yang ditampilkan menerusi pertandingan tersebut.
“Kami berbangga dapat meraikan bakat tempatan yang kreatif dan inovatif, di samping mendekatkan lagi ST Rosyam Mart dengan pelanggan melalui pendekatan yang menyeronokkan serta interaktif,” katanya. - DETIK MALAYSIA
