KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah pejabat di Jalan Pudu Ulu, Cheras, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada 26 Januari 2026 kira-kira pukul 7 pagi, seorang lelaki tempatan mendapati pejabatnya telah dipecah masuk melalui siling bumbung ketika hadir ke pejabat berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa barangan elektrik milik pejabat telah dicuri dengan anggaran kerugian berjumlah RM18,500.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum menjalankan tindakan lanjut.
“Bertindak atas laporan pengadu, polis telah menjalankan beberapa siri tangkapan pada 27 Januari 2026 sekitar pukul 2 pagi di kawasan Ampang dan Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tangkapan melibatkan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 24 hingga 54 tahun.
“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua orang kena tangkap (OKT) positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati semua OKT mengaku terlibat dalam kes berkenaan.
“Polis turut merampas beberapa barangan elektrik milik pengadu seperti mesin pencetak dan projektor yang dipercayai dicuri dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap semua OKT telah dibenarkan selama empat hari bermula 27 Januari hingga 30 Januari 2026.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ihsan Polis