KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen xenofobia dalam kalangan masyarakat yang didakwa semakin ketara terhadap komuniti pelarian dan pencari suaka di negara ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, fenomena tersebut didorong oleh penyebaran propaganda, stereotaip negatif, maklumat mengelirukan serta kempen kebencian di media sosial yang menjejaskan nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
Menurut beliau, ramai pelarian terpaksa meninggalkan negara asal akibat peperangan, penindasan politik, konflik etnik, pembunuhan beramai-ramai dan pencabulan hak asasi manusia yang mengancam nyawa mereka.
Katanya, tanggapan bahawa semua pelarian merupakan beban kepada negara, ancaman keselamatan atau pesaing ekonomi kepada rakyat tempatan adalah satu generalisasi yang tidak adil dan bercanggah dengan prinsip keadilan.
“Isu pengurusan migrasi dan tanggungjawab kemanusiaan perlu dilihat secara berasingan. Kritikan terhadap dasar atau pentadbiran tidak seharusnya diterjemahkan kepada kebencian terhadap seluruh komuniti pelarian yang berada dalam keadaan sangat rentan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, media sosial kini menjadi medium utama penyebaran ucapan kebencian, fitnah dan maklumat palsu yang membentuk persepsi negatif terhadap pelarian tanpa mengambil kira realiti kehidupan mereka yang serba kekurangan.
Menurutnya, kebanyakan pelarian berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada pendidikan, perlindungan undang-undang dan jaminan masa depan yang lebih baik untuk keluarga mereka.
Mohd Azmi berkata, Malaysia selama ini dikenali sebagai negara yang menjunjung nilai ihsan, belas kasihan dan solidariti kemanusiaan, malah pernah memainkan peranan memberi perlindungan kepada mangsa konflik dari pelbagai negara.
“Sebagai masyarakat bertamadun, kita perlu melihat isu pelarian melalui perspektif kemanusiaan yang lebih luas. Mereka bukan angka statistik atau sasaran kebencian, sebaliknya manusia yang mempunyai keluarga, maruah dan hak untuk hidup dengan selamat.
“Kita mungkin tidak mampu menamatkan semua konflik dunia, namun kita boleh memilih untuk tidak menambahkan penderitaan mereka melalui prasangka dan kebencian,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat menolak budaya xenofobia dan memperkukuhkan nilai empati, kefahaman serta solidariti kemanusiaan demi membina negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga unggul dari aspek moral dan kemanusiaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Reuters